Benang Jarum perkenal koleksi Selena

Benang Jarum perkenal koleksi Selena, perkukuh kehadiran di Malaysia

MIFTHAHUL Jannah (tengah) bersama tetamu jemputan yang menggayakan busana daripada koleksi Selena Benang Jarum.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jenama fesyen berasal dari Indonesia, Benang Jarum terus memperkukuh kehadirannya di pasaran Malaysia dengan memperkenalkan koleksi Selena sempena penyertaannya di Fashionably Modest Asia (FMA) 2025.

Menurut Pengarah Kreatif Benang Jarum, Mifthahul Jannah, fokus utama jenama itu di Malaysia ialah menawarkan rangkaian sedia dipakai (RTW) yang versatil dan sesuai digayakan wanita tempatan tanpa mengira gaya hidup atau latar belakang.

“Untuk pasaran Malaysia, kami mahu membawa pakaian yang sedia dipakai dengan cutting moden yang bukan sahaja sesuai untuk wanita Islam, tetapi semua wanita. 

“Melalui FMA 2025, kami memperkenalkan koleksi Selena yang diinspirasikan motif floral halus yang digabungkan dengan corak ‘checkered’ ikonik Benang Jarum,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini. 

Beliau berkata, koleksi baharu itu dijangka menarik perhatian pelanggan Malaysia kerana rekaannya yang segar dan identiti visual yang mudah dikenali.

Setakat ini, Benang Jarum hanya mempunyai satu cawangan fizikal di Malaysia iaitu di Avenue K.

Bagaimanapun, Mifthahul berkata, jenama tersebut merancang meluaskan pembukaan kedai baharu pada 2026 sebagai sebahagian strategi memperkukuh jenama di rantau ini.

“Sudah tentu kami berharap dapat menambah bilangan kedai di Malaysia pada tahun 2026. Buat masa ini, kami fokus kepada dua pasaran utama iaitu Indonesia dan Malaysia,” katanya.

“Dalam memastikan pelanggan sentiasa menerima pilihan fesyen yang segar, Benang Jarum turut komited menghasilkan koleksi baharu secara berkala.

“Kami akan sentiasa hadir dengan koleksi baharu untuk memberikan penyegaran kepada pelanggan. Bulan depan akan ada koleksi dengan tema berbeza, bukan floral,” jelasnya.

Dengan perkembangan itu, Benang Jarum dilihat semakin agresif mengembangkan sayapnya dalam pasaran Malaysia meskipun baru memasuki negara ini sejak dua bulan lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×