Kon Yeow ketuai delegasi ke Anhui, kukuhkan kerjasama dua kerajaan

Kon Yeow ketuai delegasi ke Anhui, kukuhkan kerjasama dua kerajaan

CHOW Kon Yeow (gambar) akan mengetuai delegasi lawatan kerja Pulau Pinang ke wilayah Anhui di timur China bermula hari ini dalam usaha memperkukuh kerjasama antara dua kerajaan dalam beberapa bidang berkaitan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Ketua Menteri, Chow Kon Yeow hari ini mengetuai satu delegasi lawatan kerja ke Anhui dalam usaha memperkukuh kerjasama dalam bidang inovasi teknologi, kerjasama industri, pertukaran ekonomi dan perdagangan serta kebudayaan antara Pulau Pinang dengan wilayah di timur China itu.

Menurut Pejabat Ketua Menteri, lawatan kerja selama lima hari yang akan disertai oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Seri Law Choo Kiang serta beberapa pemimpin lain itu atas jemputan Kerajaan Rakyat Wilayah Anhui ke Hefei.

Katanya, selain memperkukuh kerjasama dalam beberapa bidang berkaitan, lawatan tersebut juga merupakan susulan kepada satu pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani antara kedua-dua kerajaan, April lalu.

“Semasa lawatan itu, Ketua Menteri dijangka mengadakan kunjungan hormat ke atas Gabenor Wilayah Anhui, Wang Qingxian selain mengadakan perbincangan substantif dengan para pemimpin di sana. Libat urus ini dijangka menjadi platform penting untuk melonjakkan kerjasama Pulau Pinang–Anhui ke satu tahap yang lebih tinggi.

“Pada masa yang sama, delegasi itu juga akan melawat beberapa perusahaan dan institusi penyelidikan saintifik di Hefei (ibu kota Anhui) untuk melihat secara langsung kemajuan wilayah tersebut dalam bidang semikonduktor, teknologi kuantum dan sebagainya sekali gus membuka ruang untuk meneroka peluang kerjasama pada masa depan,” kata pejabat itu dalam satu kenyataan, di sini.

Tambahnya, misi tersebut juga membawa kepentingan strategik iaitu untuk memperdalam hubungan persahabatan antara Pulau Pinang dengan Anhui selain mengukuhkan kerjasama dalam teknologi tinggi, tenaga hijau,dan industri berorientasikan masa depan iaitu satu bidang yang penting untuk pertumbuhan dan daya saing berterusan di Pulau Pinang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×