ALOR SETAR: Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan slogan ‘Sabah untuk Sabah’ bukan lagi sebuah perjuangan tetapi kini bertukar menjadi sentimen politik murahan.
Pandangan itu dilontarkan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar yang melihat slogan yang kembali dilaungkan ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) itu, telah di dieksploitasi demi kepentingan tertentu.
Katanya, sebagai wakil Pakatan Harapan (PH) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulabayan, beliau memahami yang sentimen itu sudah lama berakar dalam masyarakat Sabah, namun ia tidak wajar dijadikan alat mengapi-apikan perpecahan.
“Sabah bukan pinggiran, tetapi tiang seri kepada Malaysia. Jika tiang ini kukuh, seluruh negara berdiri teguh. Kekuatan Sabah terletak pada kepemimpinan bersih, jujur dan tidak memperalatkan slogan tempatan untuk kepentingan peribadi.
“Saya yakin maruah Sabah tidak akan terpelihara dengan menjarakkan diri dari Malaysia, sebaliknya perlu memastikan negara menjadi sebuah Persekutuan yang adil kepada negeri itu,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia.
Amanah mempertaruhkan calon tunggal daripada parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dengan menamakan Mohd. Julpikar Ab. Mijan di DUN Sulabayan.
Mahfuz yang juga bekas Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, penyertaan Amanah dalam pilihan raya itu bukan untuk bergaduh dengan parti lain, sebaliknya membawa suara kebaikan agar menambah suara rakyat yang jujur dan berprinsip.
“Amanah menyertai PRN Sabah kali ini atas nama PH bukan untuk menandingi sesiapa, tetapi untuk mengangkat suara politik nilai, politik yang berteraskan kejujuran, keadilan dan rahmah.
“Biarlah orang kata Amanah parti kecil, tapi tetap berprinsip, kecil-kecil cili padi tapi pedasnya dari Sulabayan Semporna hingga Putrajaya. Dalam politik hari ni, ramai jual prinsip demi kuasa tapi Amanah bawa politik nilai demi rakyat,” katanya.
Perbezaan dalam pilihan raya katanya, tidak harus menjejaskan semangat kerjasama di peringkat Persekutuan selain politik sejati pula bukan tentang parti tempatan atau nasional tetapi tentang nilai dan kejujuran. – UTUSAN










