DAPSY Perak mengecam keras tindakan Pemuda Pas Selangor yang memfitnah dan memutarbelit fakta dengan menuduh Ketua DAPSY Kebangsaan “menghina Mursyidul Am Pas yang sedang menerima rawatan”.
Tuduhan ini berniat jahat, mengelirukan orang ramai, tidak berasaskan fakta dan tidak berlandaskan kebenaran.
Fakta garis masa adalah jelas. Kenyataan Ketua DAPSY Kebangsaan dikeluarkan pada 15 November, manakala hebahan Dewan Pemuda Pas mengenai Mursyidul Am dirawat di hospital dibuat pada 19 November, iaitu 4 hari kemudian.
Tindakan Pemuda Pas yang menggambarkan seolah-olah perkara ini berlaku “semasa Mursyidul Am sedang dirawat” adalah putar belit yang nyata.
Jika Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) benar-benar dijunjung oleh Pemuda PAS, ketelitian kepada fakta sepatutnya menjadi asas. Mengabaikan kronologi, menunggang emosi, dan mengheret orang ramai dengan naratif palsu adalah bertentangan dengan BPMS serta politik adab yang mereka dakwa.
Rekod Pas dalam isu fitnah bukan perkara baharu. Mantan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berulang kali membuat fitnah dan tohmahan palsu sehingga memohon maaf; Ahli Parlimen Kepala Batas Pas, Siti Mastura pula kalah saman fitnah di mahkamah kerana memfitnah pemimpin DAP.
Mengapa Pemuda PAS berdiam diri dan tidak mengecam?
DAPSY Perak ingin menegaskan bahawa satira politik kami ditujukan kepada tingkah laku dan keputusan pemimpin politik.
Berbeza dengan itu, kenyataan sinis berhubung roti Gardenia jelas adalah penghinaan terus terhadap rakyat. Jika mengejek rakyat dianggap “tidak mengapa” tetapi satira terhadap pemimpin politik pula dilabel “tidak beradab”, itu jelas dwistandard.
DAPSY menyeru Pas menghentikan tabiat mengalih isu dan menjadikan DAP sebagai kambing hitam. Tumpukan pada tadbir urus, selesaikan kemelut dalaman serta hubungan dengan Bersatu, dan buktikan keupayaan melalui prestasi, bukan retorik.
7. DAPSY Perak sekali lagi menyatakan solidariti penuh bersama Sdr. Woo Kah Leong dan mengecam keras tindakan Pemuda Pas yang menabur fitnah dan tohmahan tanpa berasaskan fakta. Seruan kami kepada Pemuda Pas: hentikan fitnah, hormati fakta dan amalkan BPMS secara sebenar, bukan sekadar slogan.
Koh Ling Xian
Setiausaha Publisiti DAPSY Perak
22 November 2025









