Selepas menghadiri kenduri tahlil arwah Anjang Surip, Jais bersama rakan-rakannya tidak terus pulang ke rumah.
Mereka lantas melepak di tembok depan balai raya di hujung kampung. Memang di situlah ‘port’ mereka setiap hari, pantang ada waktu terluang di situlah mereka akan berkumpul berbual setelah seharian penat membanting tulang di kebun.
“Tak sangka betul pejam celik, pejam celik sudah 40 hari Anjang Surip meninggal dunia kan? Dahlah tiada sakit apa-apa, tahu-tahu saja meninggal dunia!” Kata Budin sambil menghembuskan asap rokoknya ke udara.
Rakan-rakan lain yang berada di situ mengangguk seakan setuju dengan apa yang perkatakan Budin ketika itu.
“Iyalah, aku pun tidak sangka. Kalau tidak silap rasanya siang sebelum arwah meninggal dunia, aku ada jumpa dia di pekan. Aku tengok elok saja dia sihat, petang itu dapat tahu dia jatuh pengsan dan terus meninggal dunia,” sambung Jais sambil menampar nyamuk di lengannya.
“Eh, tapi aku dengar cerita orang kampung, Anjang Surip ini ada ‘membela’ betul ke? Tanya Amin ke arah rakan-rakannya.
Masing-masing terdiam tanpa memberi jawapan. Mereka tahu selama ini cerita Anjang Surip sering menjadi bualan penduduk kampung, namun ramai yang kunci mulut, kononnya Anjang Surip boleh tahu siapa yang menjaja atau bercerita perihal dirinya kepada orang lain.
“Aku tidak pastilah apa yang orang kampung cerita betul atau tidak, tapi dengarnya arwah dulu ada membela polong, entah betul atau tidak, tak tahulah!” Sambung Seman lagi.
Rakan-rakan lain yang berada di situ lantas memarahi Seman gara-gara keceluparannya. Jais memberi isyarat agar Seman tidak terus bercerita perihal Anjang Surip, katanya tidak elok mengungkit kisah orang yang sudah meninggal dunia.
“ Ishh, kau ini Seman, sudah-sudahlah itu! Tak baik kita bercerita pasal orang yang sudah tiada, nanti kau sebut-sebut, lepas itu kau terjumpa pula, haaa… baru kau ada akal!” Kata Amin sambil menuding jari ke arah rakannya itu.
“Eh, aku kalau jumpa takkan lari punya, silap hari bulan aku kejar dia balik!” Jawab Seman sambil tertawa kecil.
Rakan-rakannya yang berada di situ sekadar mencebikkan bibir. Mereka tahu Seman bukanlah lelaki berani, hanya sembangnya sahaja yang berdegar.
Malam semakin larut, namun mereka berempat masih lagi bergelak ketawa berbual pelbagai topik. Suasana sekeliling sudah sunyi sepi dan gelap gelita, mungkin sudah ramai penduduk kampung yang lena diulit mimpi.
“Eh, beb sudah pukul berapa ini? Nanti aku tak boleh pula masuk ke rumah, maklumlah aku terlupa bawa kunci,” kata Seman sambil melihat jam di telefon bimbitnya.
Rakan-rakan lain yang berada di situ ketawa berdekah, lucu melihat tingkah laku Seman yang gelisah kerana takut pulang lewat ke rumah.
“Eleh, tak bawa kunci konon. Cakap sajalah yang kau takut hendak balik lewat malam,” sambung Latip sambil disahut gelak ketawa rakan-rakan lain.
Menyinga Seman melihat gelagat rakan-rakannya ketika itu lantas dia terus menukar topik perbualan agar dia tidak terus dijadikan ‘bahan’ ketawa oleh mereka.
Suasana persekitaran sudah sunyi sepi. Hanya bunyi unggas dan cengkerik yang memecah kesunyian malam. Sesekali terdengar bunyi salakan anjing dari hutan berdekatan, namun langsung tidak dihiraukan mereka yang masih galak berbual.
“Eh, ada tercium apa-apa bau tak?” Tanya Jais sambil menggosok hidungnya.
Berkerut dahi rakan-rakan yang lain. Mereka angguk kepala sambil meninjau ke arah semak berhampiran.
Memang ada bau yang kurang menyenangkan menyerap rongga hidung mereka ketika itu, namun tidak tahu puncanya dari mana.
UWEKKKK….
UWEKKKK….
Hampir hendak termuntah Jais dibuatnya. Katanya, bau tersebut bukan sahaja busuk tetapi cukup meloyakan.
“Tak pernah lagi aku cium bau sebusuk ini, bangkai apa agaknya tak tahulah!” Kata Seman sambil menutup hidung, sesekali dia meludah ke tanah kerana sudah tidak mampu menahan aroma yang dibawa angin ketika itu.
Mata mereka melilau meninjau sekeliling mencari dari mana puncanya bau tersebut.
Pelik juga bila difikirkan, kerana ketika datang sebentar tadi bau tersebut langsung tidak wujud.
“Pelik sungguh! Tadi, waktu kita sampai bau ni langsung tak ada, entah mana datangnya tak tahulah. Entah-entah ada binatang mati tak?” Ngomel Amin sambil menekup hidung.
Ketika mencari dari mana datangnya bau busuk tersebut, tiba-tiba mata mereka tertumpu ke arah satu cahaya yang terang benderang dari kebun getah berhampiran. Cahaya itu bulat dan terawang-awang di udara seperti bola api.
Mereka berempat tergamam kaget. Tidak pernah lagi mereka saksikan objek pelik sebegitu, malah cahaya tersebut berlegar-legar seakan ingin menghampiri tempat di mana mereka berada.
“Eh, cahaya apa pula itu, terang semacam saja!” Kata Jais dengan wajah penuh kehairanan.
Rakan-rakan lain hanya memerhatikan sahaja tanpa sepatah kata. Mereka juga tidak punya sebarang jawapan, hanya menunggu jika objek tersebut datang menghampiri. – UTUSAN










