Hujan berterusan tahap waspada sehingga 26 November

Hujan berterusan tahap waspada sehingga 26 November

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) memberi amaran hujan berterusan pada tahap waspada di beberapa negeri berikutan cuaca tidak tentu ketika Monsun Timur Laut.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan, fenomena itu melibatkan empat negeri iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan beberapa daerah di Perak iaitu Kerian; Larut, Matang dan Selama; Hulu Perak serta Kuala Kangsar sehingga 24 November ini.

Amaran sama turut dikeluarkan bagi Kelantan dan Terengganu sehingga 26 November.

Negeri lain di Semenanjung dijangka mendung secara berterusan dengan hujan serta ribut petir dijangka berlaku terutama pada waktu petang hingga malam sepanjang 22 hingga 28 November ini.

“Angin kencang dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter (m) dijangka di kawasan perairan Terengganu dan Kelantan sehingga Rabu minggu depan dan paras air laut dijangka meningkat di kawasan sama hari ini.

“Keadaan ini adalah berisiko kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan boleh menyebabkan limpahan air laut di pesisir pantai,” katanya.

MetMalaysia turut mengeluarkan amaran angin kencang melebihi 60 kilometer sejam (km/j) dengan ombak setinggi melebihi 4.5m dijangka di kawasan perairan timur laut Condore dan barat laut Reef North dalam tempoh sama.

“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak, menangkap ikan dan perkhidmatan feri,” katanya.

Orang ramai serta komuniti maritim dinasihatkan terus merujuk laman rasmi MetMalaysia, selain menangguhkan semua aktiviti laut di kawasan berisiko tinggi sehingga cuaca kembali stabil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×