KUALA LUMPUR: HE Group Berhad (HE Group), penyedia perkhidmatan kejuruteraan elektrik memindahkan penyenaraiannya daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Malaysia).
Pemindahan itu mencerminkan rekod prestasi kewangan HE Group yang kukuh, kedudukan operasi yang mantap serta kesediaannya untuk mempercepatkan trajektori pertumbuhan sebagai syarikat tersenarai di Pasaran Utama.
HE Group telah disenaraikan di Pasaran ACE pada 30 Januari 2024 dan sejak itu terus menunjukkan momentum pertumbuhan positif, termasuk pengembangannya ke segmen pusat data yang berkembang pesat di Malaysia.
Antara projek penting yang dimenangi ialah projek pusat data bernilai RM56.6 juta di Cyberjaya pada Ogos 2025.
Langkah ke Pasaran Utama itu juga dijangka memberikan HE Group akses lebih luas kepada pasaran modal selain meningkatkan minat pelabur institusi terhadap syarikat.
Pengarah Urusan HE Group, Haw Chee Seng berkata, pemindahan ke Pasaran Utama adalah selaras dengan perkembangan pesat perniagaan syarikat dan menandakan lembaran baharu dalam usaha pertumbuhan strategik kumpulan.
Katanya, pencapaian ini mencerminkan kekuatan kewangan HE Group, asas operasi kukuh serta komitmen berterusan untuk menyampaikan nilai jangka panjang kepada pemegang saham.
“Kami percaya penyenaraian di Pasaran Utama akan meningkatkan keterlihatan dan kredibiliti kami, terutama ketika Malaysia sedang muncul sebagai hab infrastruktur digital serantau.
“Peningkatan pelaburan dalam pusat data, telekomunikasi dan kemudahan teknologi membuka peluang luas yang selari dengan kepakaran teras kami dalam kejuruteraan elektrik dan infrastruktur kritikal,” katanya.
Beliau berkata, kemunculan teknologi digital dan peningkatan transformasi digital negara turut mendorong permintaan terhadap penyelesaian kejuruteraan khusus untuk pusat data serta tenaga boleh baharu.
HE Group kini mempunyai buku tender berjumlah RM850 juta, dengan lebih 80 peratus terdiri daripada projek berkaitan pusat data, sekali gus menunjukkan permintaan kukuh dalam sektor tersebut.
Selain itu, syarikat turut terlibat dalam penyediaan sistem pengagihan kuasa bagi projek solar berskala besar 63MWp, menegaskan komitmennya terhadap pembangunan tenaga boleh baharu negara.
Tambah Chee Seng, penyenaraian di Pasaran Utama adalah hasil kerja keras kumpulan dalam memperkukuh asas operasi dan kedudukan pasaran.
“Untuk penyenaraian ini, kami amat berbangga kerana kami telah bekerja keras untuk mencapainya. Kami perlu mempunyai asas pelabur yang lebih besar untuk menarik lebih ramai pelabur termasuk pelabur institusi ke dalam kumpulan kami. Selain itu, kami akan lebih sibuk dari segi dana storan apabila berpindah ke Pasaran Utama,” katanya.
Beliau menambah, status Pasaran Utama turut meningkatkan kebolehupayaan syarikat untuk memperoleh kontrak lebih besar.
“Untuk mengukuhkan kedudukan kami, penyertaan di Pasaran Utama membolehkan kami memperoleh kontrak projek yang lebih besar. Status baharu ini meningkatkan keyakinan pelabur dan menaikkan profil syarikat. Sebagai contoh, untuk menyertai projek PFI, ia memberi kelebihan kepada kami,” ujarnya.
Mengulas prospek masa depan, Chee Seng optimistik terhadap pertumbuhan tempahan kerja syarikat.
“Dari segi mengukuhkan tempahan kerja, kami melihat prospek tahun hadapan lebih cerah dengan perkembangan pusat data, infrastruktur dan tenaga hijau. Kami percaya prestasi syarikat tahun depan akan lebih baik berbanding tahun ini,” katanya ketika sidang media.
HE Group kekal yakin dengan trajektori pertumbuhannya dan komited sepenuhnya untuk menyampaikan nilai jangka panjang kepada pemegang kepentingannya. – UTUSAN








