Lebih 5,500 tapak toksik di AS berisiko dilanda banjir

Lebih 5,500 tapak toksik di AS berisiko dilanda banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Lebih 5,500 tapak yang mengendalikan bahan berbahaya di seluruh Amerika Syarikat (AS) berdepan risiko banjir pesisir menjelang tahun 2100 akibat kenaikan paras laut.

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature Communications diketuai oleh saintis Universiti California itu memberi amaran jika pencemaran pemanasan global berterusan, kenaikan paras laut akan menenggelamkan pelbagai fasiliti berisiko tinggi, termasuk tapak kumbahan, sisa toksik, minyak dan gas serta loji industri lain.

Penyelidik menilai risiko menggunakan unjuran kejadian banjir berkemungkinan tahunan satu peratus atau banjir 100 tahun di bawah dua senario pelepasan iaitu pelepasan tinggi dan pelepasan rendah.

Daripada 23 negeri pesisir dan Puerto Rico yang dianalisis, tujuh negeri iaitu Florida, New Jersey, California, Louisiana, New York, Massachusetts dan Texas menyumbang hampir 80 peratus tapak berbahaya dijangka berisiko menjelang 2100.

Daripada lebih 47,600 fasiliti pesisir di seluruh AS yang diteliti, lebih 11 peratus iaitu sekitar 5,500 tapak, dijangka terdedah kepada banjir satu-dalam-100-tahun atau lebih kerap pada penghujung abad ini.

Kajian itu turut mendapati mengurangkan pelepasan gas rumah hijau hanya memberi sedikit perbezaan dalam jangka masa terdekat.

Menjelang 2050, ­sebanyak hampir 3,800 fasiliti berbahaya berdepan ancaman banjir.

Menjelang 2100, senario pelepasan rendah hanya me­ngurangkan tapak berisiko sebanyak tujuh peratus berban­ding senario pelepasan tinggi.

Di bawah senario pelepasan tinggi, lebih satu per lima kemudahan rawatan kumbahan, kilang penapisan dan tapak pertahanan lama, kira-kira satu per tiga loji tenaga dan lebih 40 peratus pelabuhan serta terminal bahan api fosil dijangka terdedah kepada risiko banjir menjelang 2100. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×