PETALING JAYA: Taktik baharu sindiket penyeludupan dadah adalah menggunakan pulau tidak berpenghuni sebagai lokasi transit sebelum penghantaran dibuat.
Sindiket menggunakan kaedah pusat kutipan (drop point) iaitu meninggalkan dadah di lokasi tertentu untuk diambil oleh individu lain sebelum diedarkan.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd. Zainudin berkata, ia turut merangkumi tindakan meninggalkan dadah di pulau-pulau tidak berpenghuni bagi mengelakkan pengesanan oleh pihak berkuasa.
Katanya, pihaknya turut mengesan penggunaan kontena bermuatan kargo buah-buahan dan sayuran dari negara jiran untuk tujuan penyeludupan dadah bagi mengaburi pihak berkuasa.
Ujarnya, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merekodkan 594 kes penyeludupan dadah dengan rampasan mencecah RM459.30 juta dalam tempoh 10 bulan tahun ini.
“Penyeludupan menggunakan kontena-kontena yang bermuatan kargo seperti buah-buahan, sayuran dan makanan basah dari negara jiran dikesan dengan cara menyelitkan dadah bersama-sama komoditi berkenaan.
“Sindiket juga dikesan menggunakan pelbagai modus operandi seperti perkhidmatan kurier yang menggunakan nama dan alamat palsu untuk penghantaran.
“Kita juga mengesan penyeludupan melalui pintu masuk sempadan negara dengan menggunakan individu yang membawa kenderaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Anis Rizana berkata, aktiviti penyeludupan di sempadan lazimnya menggunakan keldai dadah atau individu tertentu yang menyeludup menggunakan bagasi yang disimpan dalam kenderaan.
“Terdapat juga taktik menggunakan kenderaan yang diubah suai dengan mewujudkan ruangan khas bagi menyembunyikan dadah,” katanya.
Beliau berkata, operasi Joint Task Force (JTF) bersama Indonesia dari 1 hingga 31 Julai lalu di Sabah dan Sarawak mencatatkan nilai rampasan sebanyak RM39.22 juta.
“Kita juga melaksanakan rutin pemeriksaan di pintu keluar masuk negara oleh pegawai yang bertugas di kawasan sempadan.
“Kawalan kawasan perairan negara juga dilaksanakan secara berkala dengan memfokuskan kawasan panas, selain rondaan rutin oleh Unit Marin JKDM,” katanya. – UTUSAN










