SATU kertas penyelidikan yang diterbitkan pada 2024 yang melaporkan hasil kajian para penyelidik dari Sekolah Perubatan Universiti Stanford, Amerika Syarikat mendapati perubahan mendadak berlaku semasa umur pertengahan 40-an dan awal 60-an. Ini menunjukkan bahawa penuaan manusia berlaku pantas semasa dua gelombang masa ini. Perubahan signifikan molekul berlaku semasa umur pertengahan 40-an dikaitkan dengan perubahan metabolisme lemak, kafein dan alkohol, penyakit kardiovaskular, kulit dan otot.
Pada umur awal 60-an pula, perubahan signifikan molekul dikaitkan dengan perubahan metabolisme karbohidrat dan kafein, kawalan imunisasi, fungsi buah pinggang, penyakit kardiovaskular, kulit dan otot. Hasil kajian ini bertepatan dengan data perubatan dan pengalaman kebanyakan orang selama ini iaitu risiko penyakit seperti darah tinggi, kolesterol tinggi, hipertensi, gout dan sakit jantung meningkat secara drastik apabila seseorang mencecah umur 40 tahun dan semakin meningkat pada umur 60-an. Raut wajah, kulit, rambut dan bentuk badan (terutama bahagian perut) juga mengalami perubahan ketara pada kedua-dua peringkat umur ini.
Kedua-dua peringkat umur ini amat penting dalam kehidupan. Kesihatan yang baik amat kritikal pada kedua-dua peringkat umur ini. Kesihatan yang baik pada umur 40-an membolehkan beban keluarga, kerja dan kewangan dapat digalas dengan lancar dan berkesan manakala kesihatan yang baik pada umur 60-an membolehkan seseorang menikmati persaraan yang selesa dan berisi.
Oleh itu, tindakan intervensi pihak berkaitan perlu diambil terhadap lelaki awal 40-an sebagai langkah proaktif menjaga kesihatan. Langkah pertama yang mesti diambil ialah melakukan ujian pemeriksaan kesihatan menyeluruh. Contohnya pemeriksaan kolesterol, tekanan darah, kanser kolorektal, diabetes melitus, kemurungan, penyakit jangkitan seks, kanser prostat dan tahap obesiti. Tujuannya ialah untuk mengetahui tahap kesihatan terkini dan mengambil langkah segera memperbaikinya.
Program saringan kesihatan wajib ini wajar dilaksanakan untuk pekerja berumur 40 tahun oleh sektor awam dan swasta. Kosnya ditanggung oleh majikan. Berdasarkan keputusan ujian, pekerja yang mempunyai masalah kesihatan hendaklah melaksanakan langkah modifikasi untuk diet, gaya hidup, tabiat merokok dan aktiviti fizikal selain diberikan ubat-ubatan atau rawatan lain. Tujuan langkah modifikasi ialah untuk merawat penyakit yang dihadapi supaya keadaannya terkawal dan membolehkan pekerja terus aktif bekerja.
Kerjasama erat antara pekerja, majikan, hospital dan kerajaan harus menjadi asas kepada program intervensi saringan dan penjagaan kesihatan pekerja bersepadu sebegini. Ia patut dilaksanakan dengan berkesan dan praktikal dari segi kos rawatan, pemantauan dan keluwesan waktu bekerja.
Selain pemeriksaan kesihatan, ceramah kesihatan, pameran makan sihat dan demo senaman ringan boleh diadakan sekali. Sesi kaunseling tentang kaedah terbaik mengharungi fasa andropaus (bagi lelaki) dan menopaus (bagi perempuan) juga boleh memberikan nilai tambah dan manfaat kepada program ini.
Langkah intervensi terhadap kesihatan pekerja 40-an amat penting kerana para pekerja dan kesihatan mereka merupakan aset utama majikan dan kerajaan. Oleh itu, sikap tidak ambil berat tentangnya akan merugikan semua pihak.
Kerajaan Jepun telah memperkenalkan Undang-undang Metabo sebagai suatu inisiatif kesihatan awam terhadap sindrom metabolisme dalam kalangan warga dewasa untuk mengekang masalah berat badan berlebihan (obesiti) dan risiko penyakit seperti jantung, strok dan kematian. Kerajaan Jepun melihat bahawa tanggungjawab mengawal obesiti dan menjaga kesihatan bukan hanya ditanggung oleh pekerja sendiri tetapi juga oleh majikan dan kerajaan. Semangat Jepun inilah yang wajar dicontohi Malaysia. – UTUSAN
PEMERHATI GEJALA MASYARAKAT










