CADANGAN untuk memperkenalkan pendidikan tasawuf berasaskan nilai murni, seperti yang disebutkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, merupakan satu langkah yang amat penting dan tepat pada masanya. Dalam menghadapi isu-isu pendidikan yang hangat sejak kebelakangan ini, usaha mengembalikan peranan pendidikan dalam pembentukan akhlak adalah amat signifikan.
Hakikatnya, hasil pembelajaran tasawuf tidak boleh diukur hanya melalui keupayaan pelajar menghasilkan laporan tugasan atau menjawab soalan peperiksaan. Matlamat utama pendidikan tasawuf ialah melahirkan insan yang berakhlak mulia, berjiwa halus dan sentiasa sedar akan hubungannya dengan Allah serta manusia lain.
Tasawuf itu sendiri lahir daripada amalan para sufi yang haq, golongan yang berpegang teguh kepada akidah dan syariat berpandukan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah. Dalam tradisi sufi, pembentukan akhlak bukanlah hasil daripada perbahasan ilmiah semata-mata, tetapi buah daripada latihan kerohanian (mujahadah) yang dijalankan dengan penuh disiplin di bawah bimbingan guru mursyid, iaitu guru yang diiktiraf kewibawaannya dalam membimbing murid secara rohani dan akhlak.
Dalam konteks persekolahan, tidak semua amalan kerohanian para sufi sesuai untuk diterapkan secara langsung. Amalan seperti bersuluk, zikir khusus atau berbaiah mungkin tidak sesuai dijadikan aktiviti rasmi di bawah pentadbiran sekolah. Namun demikian, kandungan pendidikan tasawuf tidak boleh sama sekali dipisahkan daripada roh dan nilai amalan para sufi, kerana merekalah yang memahami bagaimana latihan rohani dapat membentuk akhlak yang luhur.
Justeru, amalan para sufi boleh disesuaikan atau “dicairkan” supaya bertepatan dengan konteks sekolah. Antaranya termasuklah menggalakkan pelajar bangun malam (qiyamullail) dan menunaikan solat tahajjud, memperbanyakkan zikir yang dianjurkan di dalam hadis-hadis, bermuhasabah diri, mempraktikkan adab dalam menuntut ilmu serta membudayakan semangat khidmat kepada guru dan rakan. Dengan cara ini, pendidikan tasawuf dapat membentuk suasana sekolah yang berasaskan kasih sayang, hormat-menghormati dan keikhlasan.
Pelajar juga perlu diberi pendedahan untuk mengenal pasti ajaran sufi yang sebenar. Ini penting bagi mengelakkan mereka daripada terpengaruh dengan kumpulan sufi palsu yang menyeleweng, ataupun golongan anti-sufi yang menolak sepenuhnya tradisi keilmuan sufi yang sahih. Kefahaman yang seimbang tentang tasawuf akan membantu pelajar menghargai keindahan Islam sebagai agama yang menekankan keseimbangan antara ilmu, amal dan akhlak.
Lebih penting lagi, kejayaan pelaksanaan pendidikan tasawuf amat bergantung kepada peranan guru. Guru tasawuf tidak boleh dipilih sewenang-wenangnya. Mereka perlu memiliki keperibadian mulia dan pengalaman rohani yang membolehkan mereka menjadi teladan (qudwah) kepada murid. Dalam pendidikan tasawuf, peranan guru lebih utama daripada apa jua reka bentuk kurikulum. Sekiranya guru itu sendiri tidak menzahirkan akhlak yang baik, bagaimana mungkin sifat tersebut dapat terbentuk dalam diri pelajarnya?
Sebagaimana kata bijak pandai, “Seseorang yang masih berada dalam kegelapan tidak akan mampu memberi cahaya kepada orang lain.” Begitu juga dalam pendidikan tasawuf, kejayaan membentuk akhlak bukan terletak pada bahan pengajaran semata-mata, tetapi pada keikhlasan dan keperibadian guru yang membimbing dengan kasih, sabar dan hikmah.
Dengan pendekatan yang betul, pendidikan tasawuf mampu menjadi teras baharu dalam sistem pendidikan negara, satu usaha membina generasi berilmu, beradab dan berakhlak tinggi, sesuai dengan tuntutan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. – UTUSAN
DR. MOHD. MOKHTAR MUHAMAD
Fakulti Pengajian Pendidikan
Universiti Putra Malaysia










