PERDEBATAN tentang keperluan memilih parti tempatan berbanding parti nasional kembali menjadi isu hangat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. Setiap kali musim pilihan raya, sentimen kenegerian dan slogan ‘parti tempatan untuk rakyat tempatan’ sering diangkat sebagai hujah utama pihak tertentu.
Namun bagi sebilangan pemimpin berpengalaman, pendekatan sedemikian dianggap tidak lagi relevan dalam landskap politik moden yang menuntut kematangan, pragmatisme dan keberkesanan jangka panjang.
Bagi mereka, menolak parti nasional semata-mata kerana ia bukan berakar daripada Sabah adalah satu bentuk wacana yang terlalu sempit dan boleh merencatkan tumpuan terhadap isu sebenar yang dihadapi rakyat sebaliknya lebih penting ialah kemampuan pemimpin untuk membuktikan keupayaan membawa pembangunan inklusif, membuka peluang pekerjaan, memperkukuh tadbir urus serta memastikan kestabilan politik yang diimpikan oleh rakyat negeri itu.
Pandangan ini dikongsi bekas Ketua Menteri Sabah yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan, DATUK SERI SALLEH SAID KERUAK. Menurut beliau, perjuangan untuk Sabah tidak pernah bersandar pada identiti parti sebaliknya, yang perlu diberi perhatian ialah rekod, integriti dan kesungguhan pemimpin dalam memperjuangkan agenda negeri, baik di peringkat tempatan mahupun nasional.
Ikuti temubual eksklusif bersama wartawan Utusan Malaysia, ASLINDA NASIR dan juruvideo ZUID SAMSON untuk kupasan lanjut mengenai pandangan dan hala tuju politik Sabah menjelang PRN 29 November ini.
UTUSAN: Datuk Seri berpengalaman sebagai Ketua Menteri. Bagaimana dengan kepimpinan yang dipimpin oleh Datuk Seri Hajiji Noor?
SALLEH: Semua maklum dalam proses demokrasi, pilihan raya negeri akan diadakan pada setiap lima tahun. Yang membuat penilaian adalah rakyat sendiri. Jadi, kita serahkan kepada rakyat untuk membuat penilaian tentang kepimpinan kerajaan negeri yang ada sekarang.
Pada saya, ini adalah peluang untuk rakyat menilai parti-parti besar yang bertanding, mana yang harus diberi mandat untuk menjadi parti pemerintah di Sabah.
Maksudnya sekarang ini, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih lagi ada tarikan atau sebaliknya?
Rakyat akan membuat penilaian dalam hal ini kerana saya berpegang pada prinsip demokrasi, di mana persaingan sebenar bukan terletak pada individu, tetapi pada kekuatan dan tawaran setiap parti politik.
Di Sabah, terdapat empat blok politik utama iaitu Barisan Nasional (BN), GRS, Parti Warisan (Warisan) dan Pakatan Harapan (PH). Setiap satu membawa rekod pencapaian tersendiri. PH, misalnya, belum pernah mentadbir Sabah secara langsung meskipun menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri. Maka, terpulanglah kepada rakyat untuk menilai dan menentukan pilihan mereka.
Tetapi pada saya, sudah tentulah rakyat memerlukan barisan kepimpinan yang mempunyai hala tuju jelas. Rakyat mahu kita (pemimpin) pastikan keperluan-keperluan asas di Sabah seperti masalah jalan raya, air dan elektrik.dapat diselesaikan. Dalam masa sama rakyat ingin peluang-peluang pekerjaan serta peluang ekonomi dapat disediakan.
Jadi, BN akan melancarkan manifesto tidak lama lagi untuk menerangkan kepada rakyat tentang apa yang kita akan lakukan jika diberi peluang untuk menjadi parti pemerintah.
Adakah kemenangan BN kali ini penting untuk menjadi pengukur sebelum menuju ke Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16)?
Penting kerana PRN kali ini menjadi penanda aras kepada perjalanan PRU akan datang. Ia merupakan pilihan raya pertama dalam siri PRN sebelum Melaka, Johor dan Sarawak menuju pilihan raya Parlimen. Sudah tentu rakyat akan meneliti keputusan di peringkat negeri sama ada dari sudut politik nasional atau politik tempatan. Pada akhirnya, segalanya kembali kepada kebijaksanaan rakyat untuk menentukan hala tuju mereka.
Namun yang lebih penting, kita mahu rakyat menilai dan membandingkan apa yang mampu kita tawarkan kepada Sabah sekiranya diberi mandat sebagai parti pemerintah.
Maksudnya apa sahaja keputusan PRN kali ini terhadap BN boleh menjejaskan keadaan di Semenanjung?
Kita kena lihat yang bertanding ini semuanya juga dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional sama ada PH, BN, GRS dan Warisan. Semua di peringkat nasional. Kita bersaing di peringkat negeri dan kita harap selepas PRN, kita akan bersatu padu semula. Ini berlaku seperti di Indonesia, kadang-kadang di PRN mereka bersaing tetapi di peringkat nasional mereka bersatu.
Kita sudah mula belajar di Malaysia tiada satu parti akan menjadi parti dominan. Kita perlu belajar untuk bekerjasama dan bergabung kerana era seperti dahulu tidak akan berlaku lagi.
Saya harap BN akan dilihat berdasarkan kekuatan baharu. Kali ini 80 peratus calon-calon BN adalah anak muda. Kalau kita bandingkan dengan GRS hanya 30 peratus, Warisan pula 40 peratus. Jadi kali ini kita mahu rakyat Sabah menilai BN sebagai barisan masa hadapan, parti masa hadapan. Kerana itulah, kita ketengahkan calon-calon yang baharu. Kita mahu orang nampak BN berubah dan mempunyai kelayakan kerana ia menunjukkan parti ini sentiasa berkembang.
Bercakap tentang rundingan kerjasama, adakah ia boleh menjerat BN apabila tidak dapat meletakkan calon di kawasan yang berpotensi menang?
Tidak sama sekali kerana kita telah kenal pasti semasa perbincangan dengan PH. Kita agak terbuka. Kita adakan beberapa perundingan dan kita kenal pasti beberapa kawasan.
Memang Sindumin itu kawasan yang kita tuntut tetapi kalau kita lihat pilihan raya yang lalu pun, yang menang di situ bukan BN sebaliknya Warisan. Maka, kawasan itu adalah kawasan yang terbuka. Masing-masing ada kekuatan.
Tetapi kita perlu lihat keseluruhannya termasuk berapa kerusi yang kita akan bertanding. Pada ketika itu, dalam PH masih ada parti UPKO. Namun kini keadaan sudah berbeza, UPKO sendiri pun tidak lagi bersama PH. Maka, landskap politik ketika ini jelas berubah.
Ia bukan sahaja berlaku di Sindumin. Di Karamunting, pertembungan antara BN dan PH di Bandau, juga mungkin di Liawan dan Semabung, di mana BN dan PH juga bertembung. Tetapi keseluruhannya kerjasama itu ada antara kita.
Masalah timbul apabila BN bersaing dengan GRS di beberapa kawasan, terutama berkait dengan pendirian PH hari ini.
PH dilihat lebih cenderung bersama BN?
Ini satu sokongan moral kepada kita. BN tidak bergantung kepada sesiapa pun. Kita ada kekuatan sendiri. Parti ini sudah lama bertapak di Sabah tetapi kita tidak mahu bersendirian, kita ingin menunjukkan akan bekerjasama dengan parti-parti yang mempunyai matlamat sama dengan kita.
Dan PH adalah satu gabungan yang rapat dengan BN di peringkat pusat, di mana gandingan BN–PH menubuhkan asas kepada Kerajaan Perpaduan.
Saya harap ia adalah satu persaingan yang terhad hanya di kawasan itu sahaja, tidak merebak di peringkat pusat lain. Friendly fire in certain areas (pertembungan sihat di sesetengah kawasan). Ini tidak dapat dielakkan kerana bukan mudah bagi kita untuk mengawal keadaan.
Ini bukan juga berlaku kepada kita malah Ketua Pemuda GRS pun bersaing bertanding sebagai calon Bebas. Tetapi saya harap BN akan dilihat dengan kekuatan baharu.
Berkaitan DUN Usukan, adakah situasi pecahan undi antara GRS dan calon Bebas memberikan kelebihan kepada Datuk Seri?
Usukan memang kerusi tradisi BN sejak dahulu lagi, malah UMNO berakar di situ. Saya melihat persaingan di Usukan bukanlah soal individu tetapi persaingan antara parti, kerana kali ini ia bukan pilihan raya kecil, sebaliknya pilihan raya umum di mana setiap parti berhasrat membentuk kerajaan.
Bukan sekadar memberi impak di Usukan sahaja, saya yakin apabila pilihan raya diadakan, pengundi akan terus menyokong BN kerana mereka mengutamakan kestabilan. Rakyat sudah jemu dengan pergolakan politik dan dengan kestabilan, kita boleh menumpukan perhatian kepada projek pembangunan di Sabah.
Persaingan kali ini melibatkan seorang ahli Parlimen dari Kota Belud. Adakah ia memberi persaingan yang kuat kerana boleh membawa suara di peringkat Parlimen?
Saya tidak lihat itu menjadi pertimbangan rakyat. Rakyat sekarang bukanlah seperti dahulu. Rakyat sekarang sudah matang dan ramai penduduk muda. Penilaian mereka amat berbeza sekarang. Jadi saya harap di Usukan ini penilaiannya sebegitu.
Kita mempunyai track record sejak dahulu lagi. Kita yang membawa Pan Borneo. Kita juga yang membawa pembangunan besar-besaran di kawasan ini. Sudah tentulah kita mempunyai agenda untuk membangunkan Kota Belud supaya peluang pekerjaan, peluang ekonomi dapat disediakan.
Kita telah membangunkan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan lebih 30,000 graduan. Masalah sekarang ialah peluang pekerjaan. Apakah kita telah sediakan? Kalau di Kota Belud ramai yang menganggur, peluang pekerjaan itu mesti diwujudkan. Jadi kita perlu mempunyai perancangan yang besar. Kita harus membawa rakyat berfikir untuk masa hadapan. Kita tidak boleh membiarkan mereka mengundi berdasarkan emosi semata-mata.
Apa tawaran untuk kawasan Usukan?
Ini bukan sekadar melibatkan kawasan Usukan sahaja. Saya yakin apabila tiba masanya pilihan raya nanti, mereka akan terus menyokong BN kerana yang utama bagi mereka ialah kestabilan. Rakyat sudah penat dengan politik dan dengan kestabilan, kita dapat menumpukan perhatian kepada projek-projek pembangunan di Sabah.
Antara isu yang mereka bangkitkan ialah parti tempatan vs parti nasional. Komen?
Pada saya, parti politik itu adalah wadah untuk memberi khidmat yang terbaik. Perjuangan untuk Sabah adalah oleh orang Sabah. Apabila mereka bercita-cita (untuk tuntut) 40 peratus, yang berjuang bukan parti politik tetapi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Banyak orang tidak melihat perjuangan 40 peratus itu dibawa oleh NGO, bukan kerajaan negeri atau parti politik.
Jelas menunjukkan kalau kita memperjuangkan Sabah, ia diperjuangkan oleh orang Sabah, bukannya parti-parti politik. Bukannya monopoli parti tempatan atau parti persekutuan. Kita ini semua orang Sabah. Itulah yang kami di BN dibuat, memperjuangkan orang Sabah sebagai keutamaan. Ini ‘Sahabat Untuk Sabahan’, ‘Justice Untuk Sabah’. Pada kami, apa pun yang kita lakukan, orang Sabah tetap nombor satu.
Maksudnya sewajarnya parti tempatan itu lebih mendominasi?
Bagi saya, kita hormat mereka berada dalam parti tempatan, itu tidak salah. Tetapi mereka tidak boleh pula marah kita berada dalam parti nasional. Itu terlalu narrow-minded, terlalu parokialistik (berpandangan sempit), seolah-olah asal parti nasional, jahat. Sebaliknya jika tentang negeri, semuanya terbaik, sedangkan sebenarnya antara mereka pun bergaduh, aeolah-olah yang bersaing itu parti-parti tempatan sahaja, antara mereka pun tidak boleh bermuafakat.
Pada saya, bersaing itu harus. Kalau kita orang Sabah, itu perjuangan semua, bukan perjuangan mana-mana parti politik. UMNO pun tidak boleh katakan itu perjuangan mereka semata-mata. Dalam konteks BN, memang benar pada ketika itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, telah menegaskan mana-mana perkara yang telah ‘terambil’ akan dipulangkan semula. Jadi, bagi kami, ia bukanlah satu masalah.
Pada saya, isu yang mereka akan gunakan pada kali ini ialah isu parti tempatan berlawan parti nasional. Itu sahaja. Tetapi kita akan menawarkan kestabilan, pembangunan dengan pengalaman yang ada, perkhidmatan serta kerjasama. Ini yang ingin kita sampaikan kepada rakyat. Kita yakin rakyat akan bersama kita.
Perlu juga lihat apa tawaran kita. Sekarang ini kita bercakap soal parti tempatan lawan nasional. Itu tidak menyelesaikan masalah. Itu emosi, sentimen. Yang penting kita lihat parti politik sebagai wadah untuk mencapai pembangunan, parti yang boleh membuka peluang kerja, peluang ekonomi. Itu seharusnya menjadi tumpuan.
Biarlah persaingan politik itu sihat berdasarkan idea, bukan berdasarkan sentimen. Pada saya, parti tempatan tidak salah dan parti nasional juga tidak salah. Yang salah adalah politik ekstrem yang tidak menyatukan rakyat.
Ada cakap-cakap, Datuk Seri akan diangkat sekali lagi sebagai calon Ketua Menteri?
Tidak. Saya pemimpin biasa. Saya bukan Ketua Bahagian pun. Saya hanya bantu parti. Dalam Perlembagaan Sabah, Ketua Menteri dilantik oleh Tuan Yang Terutama berdasarkan siapa yang mendapat sokongan majoriti. Konvensyen ialah parti yang menang banyak diberi keutamaan. Tetapi dalam demokrasi ada juga kerajaan minoriti, kalau tidak cukup majoriti tetapi jika seseorang itu boleh buktikan dia mendapat sokongan dalam tempoh tertentu, dia boleh dilantik.
Kalau ikut perlembagaan, tiada masalah untuk Datuk Seri dilantik semula?
Siapa pun boleh. Tetapi ia perlu mengikut konvensyen parti.
Pengundi sewajarnya memilih calon berkualiti atau parti?
Parti yang penting. Calon terbaik sekalipun tidak boleh buat apa-apa tanpa parti. Calon bebas di Selangor dulu menang satu tetapi tidak boleh bergerak kerana tiada parti.
Parti pula mesti tunjuk calon berkualiti untuk hidup. Parti tidak boleh statik. Ia mesti berkembang. Tidak boleh hanya Datuk Seri Salleh sahaja atau Datuk Seri Bung Moktar Radin sahaja. Mesti ramai profesional masuk. Parti hidup kerana masyarakat seluruhnya.-UTUSAN










