Statistik kes rogol membabitkan remaja bawah umur yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang disiarkan dalam laporan muka depan Utusan Malaysia, Rabu lalu amat membimbangkan. Data itu menunjukkan sebanyak 6,071 jenayah rogol dan secara berkumpulan direkodkan sejak tahun 2017 sehingga Mac 2021.
Daripada jumlah itu, sebanyak 1,582 kes direkodkan pada 2017 diikuti 2018 (1,327 kes), 2019 (1,453 kes) , 2020 (1,368 kes) manakala 341 kes lagi dilaporkan awal tahun ini sehingga Mac lalu.
Setiap kita yang berstatus ibu bapa pasti khuatir memikirkan masa masa depan anak-anak adakah lebih selamat atau sebaliknya.
Sayang bagaimanapun dengan anak-anak, ibu bapa tidak akan mampu bersama mereka 24 jam untuk memberi perlindungan.
Lebih menggerunkan, trend jenayah rogol membabitkan remaja bawah umur yang dilaporkan berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini bukannya secara paksaan.
Sebaliknya, atas dasar suka sama suka.
Demikian kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan.
Ada kes yang dilaporkan melibatkan antara dua individu yang melakukan perbuatan seks secara rela namun menjadi rogol berkumpulan apabila mangsa diugut malah ada juga yang ‘ketagih’ sehingga melakukan hubungan dengan orang lain.
“Kini, ia lebih kepada keruntuhan masalah moral. Sebenarnya peningkatan kes rogol disebabkan budak-budak sekarang gemar merakam apa yang dilakukan mereka mahu tunjukkan kepada rakan bahawa dirinya sudah advance daripada rakan yang lain,” kata Siti Kamsiah.
Apa yang pasti, apabila berlaku kemungkaran atau maksiat ketika itu tidak ada lagi iman pada diri individu berkenaan. Ia berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: Tidaklah seorang penzina itu berzina sedangkan dia dalam keadaan dia beriman. Tidaklah seorang pencuri itu mencuri sedangkan dia dalam keadaan dia beriman dan tidaklah seorang peminum arak itu meminum arak dalam keadaan dia beriman. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
CABARAN HEBAT
Dalam zaman maklumat di hujung jari, ibu bapa berhadapan dengan cabaran yang lebih hebat mendidik anak-anak. Tambahan pula, dengan ‘wajibnya’ penggunaan internet bagi melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ekoran total lockdown sejak 1 Jun lalu.
Kajian Malaysians Against Pornografi (MAP) pada 2018 mendedahkan data yang mengejutkan. Ini apabila kira-kira 80 peratus kanak-kanak berusia antara 10 hingga 17 tahun telah menonton pornografi secara sengaja.
Kini anak-anak kita masing-masing mampu mengakses internet dengan gajet peribadinya. Hanya Allah sahaja Maha Mengetahui apa yang dilakukan!
Gambar-gambar dan aksi yang boleh membangkitkan nafsu syahwat ditayang di merata-rata laman internet sama ada kita minta atau tidak. Menyebabkan cahaya hati remaja kini semakin malap dan gelap.
Pengharaman zina amat jelas. Ia ditegaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). (al-Isra’: 32)
Masyarakat Melayu terutamanya sering mengelak apabila diajak berbicara bab seks. Ia sering dianggap tajuk sensitif untuk dibincangkan secara terbuka. Jadi, ada ibu bapa yang berharap anak-anak akan ‘belajar’ atau memahaminya sendiri secara semulajadi tanpa perlu bersoal-jawab dengan ibu bapa.
Walhal, bab seks bukan hanya melibatkan hubungan intim suami-isteri. Ia melibatkan isu anatomi manusia.
Di Jepun, pendidikan seks adalah wajib bagi remaja antara 10 ke 11 tahun. Bagaimanapun topik utamanya berkisar kepada bab biologi seperti baligh yang melibatkan hal haid dan keluar mani.
PENDIDIKAN SEKS
Seorang tokoh iaitu Dr. Mohd. Aqlah (1990, Jordan) dalam bukunya Tarbiyyatul aulad fiil Islam (Pendidikan anak dalam Islam) melihat pendidikan seks sebagai sebahagian daripada pendidikan dan pembentukan akhlak.
Antara adab-adab yang perlu dipupuk berkaitan pendidikan ini adalah:
1) Cara duduk dan berkomunikasi. Ibu bapa perlu memahamkan kanak-kanak tentang perasaan malu, penjagaan kehormatan diri dan pisahkan tempat tidur pada usia 10 tahun. Ini adalah permulaan yang baik kepada pemahaman tentang pendidikan seks (walaupun tanpa diberitahu apakah itu hubungan seks)
2) Menyemai adab meminta izin sebelum masuk ke bilik ibu bapa. Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang yang beriman, hendaklah budak-budak (lelaki dan wanita) yang kamu miliki dan orang-orang yang belum baligh di antara kamu, meminta izin kepada kamu tiga kali (dalam satu hari) iaitu: sebelum solat Subuh, ketika kamu menanggalkan pakaian (luar)mu di tengah hari dan sesudah sembahyang Isyak. (Itulah) tiga aurat bagi kamu. Tidak ada dosa atasmu dan tidak (pula) atas mereka selain dari (tiga waktu) itu. Mereka melayani kamu, sebahagian kamu (ada keperluan) kepada sebahagian (yang lain)… (an-Nur: 58)
3) Pisah tempat tidur antara anak lelaki dan perempuan apabila usia mereka mencecah tujuh tahun. Dari segi perkembangan kognitif, kanak-kanak pada usia ini sudah mula boleh membezakan sesuatu yang konkrit dan abstrak serta dalam peringkat permulaan memahami sesuatu yang berbentuk konseptual.
4) Beri juga pemahaman tentang penjagaan maruah dan perwatakan diri.
Contohnya tidak boleh melihat aurat orang lain, jangan mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah.
Bercinta itu tidak salah kerana ia adalah fitrah manusia. Sebab itu Islam galakkan umatnya berkahwin. Selain dapat menyuburkan rasa cinta itu dan menikmati hubungan kelamin secara halal ia juga mengembang biak keturunan.
Yang perlu kita pesan kepada anak-anak adalah jika ada lelaki yang mengaku cintakan mana-mana gadis lalu dia mengajak anda melakukan zina atau mukadimah zina, tinggalkan lelaki itu. Terbukti dia bukan lelaki baik yang sesuai untuk dijadikan suami.
Dalam masa yang sama, ibu bapa ajarkanlah anak-anak tentang seks. Semoga dengan pengetahuan itu, mereka tidak terjebak dalam zina dan lain-lain maksiat, insya-Allah.











