Suzuki Malaysia lancar Fronx Hybrid - Utusan Malaysia

Suzuki Malaysia lancar Fronx Hybrid

SUZUKI Fronx Hybrid
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Suzuki Malaysia melancarkan Suzuki Fronx Hybrid serba baharu, sekali gus menambah pilihan dalam segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak hibrid yang semakin berkembang di negara ini.

Model itu yang menerima penarafan lima bintang ASEAN NCAP, direka untuk memenuhi keperluan pemandu moden yang mahukan gabungan gaya, keselamatan dan teknologi dalam satu pakej.

Suzuki Fronx Hybrid ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans bermula pada RM147,888.

Ketua Pegawai Eksekutif Naza Automotive Group, Mohd Rizal Jailan berkata, pelancaran Fronx Hybrid merupakan bukti komitmen Suzuki yang semakin berkembang terhadap pasaran automotif Malaysia yang semakin pesat berubah.

“Suzuki Fronx menandakan fasa baharu pertumbuhan Suzuki di Malaysia. Ia menggabungkan praktikaliti, prestasi dan rekaan yang seiring dengan gaya hidup rakyat Malaysia.

“Dengan penarafan keselamatan ASEAN NCAP lima bintang, pelanggan boleh menikmati keterujaan dan ketenangan fikiran dalam satu kenderaan,” katanya pada majlis pelancaran di sini, semalam.

Model berkenaan dibina berasaskan platform ringan Suzuki dan menampilkan reka bentuk coupe yang digabungkan dengan postur SUV, dilengkapi gril krom, lampu hadapan LED multi-reflektor, lampu belakang LED mendatar, rim aloi 16 inci dan pilihan warna dua tona serta satu tona.

Mengulas lanjut, Mohd Rizal berkata, ruang dalaman Fronx menampilkan pendekatan rekaan ringkas dan moden dengan tumpuan kepada pemandu, termasuk skrin infotainmen HD 9 inci, Head-Up Display (HUD), kamera 360 darjah, pengecas tanpa wayar dan kabin senyap dengan prestasi NVH tinggi.

“Kami yakin Fronx akan menarik perhatian generasi pemandu yang mahukan identiti, keselamatan dan gaya dalam satu SUV kompak. Ini adalah model yang mencerminkan nilai Suzuki: kualiti, kebolehpercayaan dan pengalaman pemanduan yang mengujakan,” katanya.

Dari segi keselamatan, Fronx hadir dengan enam beg udara, sistem brek anti-kunci (ABS), agihan brek elektronik (EBD), Bantuan Brek, Kawalan Pegangan Bukit, Program Stabiliti Elektronik (ESP), Kawalan Jelajah Adaptif, Monitor Titik Buta, Amaran Trafik Lintas Belakang (RCTA), Sokongan Brek Dwi Sensor (DSBS II), Bantuan Kekal Lorong, Bantuan Lampu Tinggi dan struktur badan TECT Suzuki yang dibina untuk ketahanan hentakan.

Ia dikuasakan enjin petrol hibrid 1.5 liter K15C yang menghasilkan 103PS dan 138Nm, dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan bersama pengayuh gear serta bateri Lithium Ion 12V-10Ah.

Tangki bahan api 37 liter digabungkan dengan sistem hibrid membolehkan model itu mencapai jarak pemanduan sehingga 700 kilometer (WLTP).

Frons turut menawarkan ruang but 308 liter, tujuh ruang simpanan dan tempat duduk belakang boleh lipat 60:40, sesuai untuk kegunaan harian serta perjalanan jauh.

Sebagai tawaran pembeli terawal, pelanggan akan menerima rebat RM4,000 atau pakej aksesori tulen suzuki percuma merangkumi rak bumbung, bakul bumbung dan visor pintu.

Promosi ini sah sehingga 31 Disember 2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×