PETALING JAYA: Proton Saga Serba Baharu mencuri tumpuan apabila menerima 10,000 tempahan dalam tempoh hanya lima hari selepas dibuka untuk pra-tempahan, sekali gus membuktikan daya tarikan kuat model ikonik itu dalam kalangan pengguna di Malaysia.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ir. Abdul Rashid Musa berkata, Saga Serba Baharu bukan sekadar sebuah kereta tetapi ia juga merupakan simbol kemajuan negara yang diolah semula untuk generasi baharu.
“Bagi memastikan pelanggan dapat merasai pengalaman memandu Saga baharu secepat mungkin, pasukan pengeluaran kami di Tanjong Malim telah bekerja keras untuk meningkatkan kapasiti bekalan, dengan penyerahan kereta kepada pelanggan dijadualkan bermula sebaik sahaja pelancaran rasmi diadakan.
“Bagaimanapun, melalui peningkatan besar, model itu mengekalkan julat harga indikatif antara RM40,000 hingga RM50,000 bagi memastikan ia kekal mampu milik untuk rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Saga Serba Baharu dipacu enjin i-GT 1.5L serba baharu yang digandingkan dengan Transmisi Bervariasi Berterusan (CVT) yang lancar dan jimat bahan api, meneruskan tradisi Proton dalam menawarkan prestasi halus untuk pemanduan harian.
Ciri keselamatan turut dipertingkat dengan sembilan Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) serta enam beg udara, menjadikannya antara model paling lengkap dalam kelasnya.
Bahagian dalaman pula mengetengahkan komitmen Proton terhadap mobiliti pintar melalui paparan skrin berkembar bersepadu bersaiz 16 inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.
Saga Serba Baharu ini bukan sekadar sebuah kereta, ia adalah simbol kemajuan negara kerana dibangunkan di atas Advanced Modular Architecture (AMA) baharu.
Proton kini mempunyai pemilikan penuh terhadap harta intelek itu, menyerlahkan sejauh mana kejuruteraan automotif Malaysia telah berkembang.
Sementara itu, Proton mengumumkan tawaran tempahan awal eksklusif untuk 10,000 pelanggan terawal berikutnya.
Tawaran tersebut sah sehingga hari pelancaran rasmi dan memerlukan pendaftaran kenderaan diselesaikan selewat-lewatnya pada 31 Disember 2025.
Pelanggan layak akan menerima Servis Percuma 1 Tahun atau 20,000 kilometer, merangkumi caj buruh dan alat ganti, selain Kad Touch ‘n Go Edisi Terhad Saga Serba Baharu. – UTUSAN










