PENGGUNAAN kenderaan mikromobiliti seperti e-skuter, hoverboard dan segway semakin menjadi trend di kawasan bandar. Ramai melihatnya sebagai simbol gaya hidup moden dan mobiliti pintar yang mesra alam.
Namun di sebalik kemudahan itu, tersembunyi risiko besar apabila digunakan di jalan raya. Pergerakan yang perlahan, struktur ringan dan kurang perlindungan menjadikan pengguna mikromobiliti mudah terdedah kepada kemalangan maut.
Institut Pengangkutan Malaysia (Mitrans) bersama Kementerian Pengangkutan baru-baru ini menegaskan larangan penggunaan kenderaan mikromobiliti di atas jalan raya. Langkah ini diambil bagi memastikan keselamatan semua pengguna dan mengelakkan gangguan terhadap aliran trafik.
Kenderaan mikromobiliti ditakrifkan sebagai kenderaan yang digerakkan oleh sumber elektrik, enjin pembakaran dalam, kuasa manusia atau gabungan ketiganya. Ia mempunyai kelajuan maksimum 50 kilometer sejam dan termasuk dalam kategori moped, PMD seperti e-skuter dan hoverboard serta PMA seperti e-kerusi roda dan e-skuter duduk.
Larangan ini bukan bermaksud menolak teknologi baharu tetapi untuk mengelak bahaya yang nyata. Jalan raya dicipta untuk kenderaan bermotor yang lebih berat, manakala mikromobiliti direka untuk laluan khas atau kawasan tertutup.
Walaupun data kemalangan melibatkan mikromobiliti masih kecil, peningkatan penggunaannya tanpa kawalan boleh menambah beban kepada angka itu.
Beberapa kes kemalangan melibatkan e-skuter direkodkan di bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Shah Alam. Sebahagian besar berpunca daripada pertembungan dengan kereta dan motosikal akibat perbezaan kelajuan dan ruang pandangan yang terhad.
Pengguna mikromobiliti juga sering mengabaikan penggunaan alat keselamatan seperti topi keledar dan lampu isyarat malam. Akibatnya, kemalangan kecil boleh menjadi kecederaan parah, terutama apabila berlaku di kawasan sibuk dan sempit.
Langkah larangan ini perlu dilihat sebagai amaran awal, bukan sekatan keterlaluan. Tanpa peraturan jelas, penggunaan mikromobiliti di jalan awam boleh mengundang kekacauan dan membahayakan nyawa sendiri serta orang lain.
Dalam masa sama, pihak berkuasa tempatan perlu meneliti keperluan menyediakan laluan khas mikromobiliti di kawasan perumahan dan sekitar transit awam. Ini bagi membolehkan ia digunakan dengan selamat dan terkawal.
Dalam konteks pendidikan keselamatan jalan raya, pengguna juga harus dididik untuk memahami batas penggunaan peranti ini. Kesedaran tentang tanggungjawab dan risiko perlu menjadi keutamaan, bukan sekadar trend atau hiburan.
Kenderaan mikromobiliti boleh terus memainkan peranan positif jika digunakan dengan beretika. Contohnya, di taman awam, kawasan universiti, dan persekitaran pelancongan yang mempunyai laluan khas dan kawalan selamat.
Masyarakat juga perlu memahami keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama. Setiap pengguna sama ada pejalan kaki, penunggang motosikal, pemandu kereta atau pengguna mikromobiliti, mesti saling menghormati ruang pergerakan.
Larangan ini bukan untuk menyekat kemajuan tetapi untuk memberi ruang kepada perancangan yang lebih selamat dan lestari. Apabila infrastruktur tersedia dan kesedaran meningkat, penggunaan mikromobiliti boleh dikembangkan semula dengan lebih teratur.
Langkah Mitrans dan Kementerian Pengangkutan perlu disambut dengan sikap terbuka dan rasional. Teknologi harus memudahkan hidup, bukan mengancam nyawa.
Kita semua mahu menikmati kemudahan mobiliti moden tetapi bukan dengan mengorbankan keselamatan. Fahami risiko, patuhi peraturan dan gunakan mikromobiliti di tempat yang betul sebelum terlambat.-UTUSAN
DR. IRWAN IBRAHIM & DR. ABDUL KHABIR RAHMAT
Institut Pengangkutan Malaysia
(Mitrans) & Universiti Teknologi Mara (UiTM)










