Radzi Jidin ganti Hamzah sebagai Ketua Pembangkang?

Radzi Jidin ganti Hamzah sebagai Ketua Pembangkang?

Perhimpunan Bersatu
MOHD. Radzi Md. Jidin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tindakan seorang Ahli Parlimen kerajaan mengucapkan tahniah kepada Datuk Dr. Radzi Jidin (PN-Putrajaya) yang didakwa bakal dilantik sebagai Ketua Pembangkang menimbulkan persoalan lebih-lebih lagi ketika krisis yang sedang melanda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Mohd. Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) turut mengucapkan ‘takziah’ kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut) yang didakwa akan dilucutkan daripada jawatan itu.

“Saya nak ucapkan syabas dan tahniah kepada Ahli Parlimen Putrajaya yang khabarnya akan dilantik sebagai Ketua Pembangkang dalam Parlimen Malaysia.

“Takziah diucapkan kepada Ahli Parlimen Larut yang dilucutkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang. Selamat bertugas Yang Berhormat Putrajaya,” katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 peringkat jawatankuasa Kementerian Kesihatan (KKM) di Dewan Rakyat hari ini.

Sehubungan itu, suasana Dewan Rakyat bertukar riuh apabila beberapa Ahli Parlimen pembangkang menyifatkan ucapan tersebut tidak selaras dengan sesi perbahasan RUU di bawah KKM.

Timbalan Yang Dipertua, Alice Lau Kiong Yeng kemudiannya menegur Ahli Parlimen Hulu Langat itu agar tidak berpolitik dalam Dewan.

Terdahulu, media melaporkan, satu draf dokumen dalaman bertarikh 10 November 2025 didakwa sebagai surat sulit kepemimpinan Bersatu menggesa tindakan segera diambil ke atas individu tertentu bagi mendamaikan dan memulihkan kesejahteraan parti itu.

Surat tanpa kepala surat rasmi yang tular itu mengandungi perkataan sulit mencadangkan supaya Radzi selaku Naib Presiden Bersatu menggantikan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang.

Semalam, Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah memaklumkan parti itu belum menerima sebarang maklumat berhubung surat cadangan pertukaran jawatan Ketua Pembangkang.

Turut dilaporkan, satu pertemuan antara pemimpin Bersatu akan berlangsung di rumah Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara di sini, malam ini. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×