DORONGAN utama yang membawa masuk warga asing ke Malaysia ialah faktor ekonomi. Negara ini dianggap sebagai ‘tanah peluang’ oleh ramai pendatang dari Indonesia, Bangladesh, Filipina, Myanmar dan Nepal.
Ejen buruh atau sindiket pemerdagangan manusia pula mengambil kesempatan dengan menawarkan pekerjaan melalui jalan pintas, menggunakan dokumen palsu atau pas pelancong sementara.
Sebahagian besar daripada mereka masuk secara sah pada awalnya, namun tinggal melebihi tempoh visa atau permit kerja. Tindakan ini menjadikan mereka automatik sebagai pendatang tanpa izin mengikut Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63.
Ada pula yang terus menyusup masuk melalui laluan laut atau darat yang sukar dikawal. Kawasan perairan di sekitar Johor, Sabah, dan Selat Melaka sering menjadi ‘pintu belakang’ utama.
Masalah ini bertambah buruk dengan kelemahan kawalan di pintu masuk tidak rasmi. Dalam keadaan tertentu, bilangan anggota penguatkuasa tidak mencukupi untuk memantau kawasan luas, terutama di perairan terbuka dan sempadan darat Sabah–Kalimantan.
Selain itu, isu kebocoran maklumat dan rasuah dalam kalangan segelintir pegawai penguatkuasa. Perbuatan ini bukan sahaja menjejaskan kredibiliti jabatan berkaitan, malah membuka laluan mudah kepada warga asing yang berniat mengambil kesempatan terhadap kelemahan sistem.
Dalam banyak kes, warga asing yang sudah menetap secara haram cenderung bersembunyi di kawasan bandar dan pinggir bandar. Mereka bekerja secara tidak formal dalam sektor pembinaan, pembersihan atau kilang kecil. Kehadiran mereka sukar dikesan kerana mendapat perlindungan daripada majikan tempatan yang mahu mengurangkan kos gaji.
Lebih membimbangkan, sebahagian daripada mereka turut menyewa rumah, berkahwin, malah menjalankan perniagaan kecil tanpa lesen sah sekali gus memberi tekanan kepada peluang ekonomi rakyat tempatan.
Kerajaan berulang kali melancarkan operasi besar-besaran dan program khas seperti Program 6P serta Repatriasi Migran untuk menangani isu ini. Melalui program tersebut, pendatang tanpa dokumen diberi peluang mendaftar, memperbaharui pas atau pulang secara sah tanpa dikenakan hukuman berat. Namun, pelaksanaannya sering kali disalah guna pihak tertentu yang mengambil kesempatan, menyebabkan ribuan warga asing kekal dalam sistem tanpa dapat dikesan selepas program berakhir.
Terdapat juga kekangan dari segi kerjasama diplomatik. Dalam sesetengah kes, negara asal enggan menerima semula warganya, terutama apabila tiada bukti identiti kukuh atau rekod kewarganegaraan jelas. Akibatnya, ramai pendatang ditahan lama di depot imigresen menunggu proses pengusiran yang tertangguh. Isu ini bukan sahaja menambah kos kerajaan, malah menjejaskan imej kemanusiaan negara apabila pusat tahanan sesak.
Laporan antarabangsa turut menegur aspek hak asasi dan pengurusan tahanan warga asing. Namun begitu, Malaysia berdepan dilema antara keperluan menjaga hak individu dan keselamatan nasional. Ketegasan perlu dilaksanakan agar sempadan tidak dijadikan laluan bebas keluar masuk sesuka hati. Setiap pelonggaran undang-undang memberi kesan domino terhadap keselamatan, kestabilan sosial dan ekonomi rakyat tempatan.
Pada masa sama, masyarakat juga harus sedar kehadiran mereka kerana terdesak, dieksploitasi oleh ejen tidak bertanggungjawab dan menjadi mangsa sistem yang longgar. Justeru, pendekatan membanteras perlu seimbang antara aspek penguatkuasaan dan kemanusiaan. Majikan tempatan yang menggaji pendatang tanpa izin juga wajar dikenakan hukuman berat kerana menjadi punca utama masalah ini berterusan.
Bagi memastikan langkah banteras benar-benar berkesan, kerajaan perlu memperkukuh sistem semakan digital di pintu masuk, meningkatkan jumlah rondaan laut dan darat serta memperketatkan kawalan terhadap pekerja asing.-UTUSAN
AAFIYAH ARISSA
Johor










