SHENZHEN, kota keempat terpenting di China selepas Beijing, Shanghai dan Guangzhou suatu ketika dahulu hanya sebuah kampung nelayan. Segalanya berubah apabila China melaksanakan dasar pembaharuan dan pintu terbuka kepada dunia luar pada Disember 1978 — langkah berani kepemimpinannya untuk mentransformasi China menjadi negara perindustrian.
Mereka menyusun semula kampung termasuk menambak laut untuk dijadikan kawasan kediaman dan industri. Hasil perancangan strategik dan pelaksanaan rapi selama empat dekad melahirkan Shenzhen sebagai antara kota dunia yang hijau, selamat dan canggih serta didokong teknologi digital antara paling maju di dunia.
Di Shenzhen, hampir seluruh urusan kehidupan diurus di hujung jari. Tiada lagi wang tunai dalam saku. Semua transaksi, pembayaran bil dan perkhidmatan dilakukan menggunakan aplikasi digital.
Dalam lawatan empat hari ke Shenzhen baru-baru ini, penulis menyaksikan sendiri kecekapan sistem kawalan keselamatan awam dan lalu lintas serta ketegasan undang-undang menjadikan kota ini selamat. Ia hampir sifar kes ragut selain tiada pengemis, gelandangan atau penjaja jalanan. Ini satu gambaran masyarakat tersusun, maju dan berdisiplin.
Kisah pembangunan selama 40 tahun itu (1978–2018) diabadikan pada Pameran Perancangan Bandar di Muzium Shenzhen dekat Daerah Futian, yang mendokumentasikan transformasi luar biasa ini dengan penuh terperinci.
Shenzhen adalah kota milik rakyat China. Penduduknya datang dari seluruh pelosok negara untuk memacu industri, perdagangan dan ekonomi bersama kira-kira 50,000 penduduk asal. Kini, kota ini dihuni lebih 20 juta penduduk dengan purata umur tenaga kerjanya sekitar 30 tahun.
Ramai penduduknya adalah graduan universiti. Jika dahulu hanya mempunyai seorang doktor veterinar dan seorang jurutera pertanian, kini puluhan ribu tenaga kerja profesional berkhidmat dalam pelbagai sektor apabila Shenzhen diisytiharkan sebagai Zon Ekonomi Khas (SEZ) pada 1980. Kini SEZ
Shenzhen adalah hab industri teknologi China dan dunia. Di situ turut beroperasi makmal penyelidikan dan pembangunan (R&D) termasuk perubatan, kecerdasan buatan (AI), robotik dan peralatan komunikasi termaju di dunia.
Generasi muda menjadi nadi kemajuan pesat ini yang mendorong pertumbuhan ekonomi yang pernah mencapai 40 peratus dan kini mengekalkan purata pertumbuhan tahunan sekitar enam peratus.
Pihak berkuasa Shenzhen menitikberatkan kualiti hidup warganya. Pengangkutan awam berasaskan kereta api, bas dan teksi elektrik. Kini ada 900 laluan dengan 16,000 bas elektrik, jumlah paling banyak di dunia. Teksi tanpa pemandu juga telah beroperasi.
Terdahulu, motosikal petrol telah dilarang sejak 30 tahun lalu. Kini jutaan motosikal elektrik bergerak di jalan raya, menyumbang kepada udara yang lebih bersih dan sifar bunyi kerana 70 peratus kenderaan di Shenzhen adalah kenderaan elektrik (EV).
Dengan 12 laluan kereta api bawah tanah, sistem Metro Shenzhen bukan sahaja efisien malah stesennya menjadi hab ekonomi bagi sektor peruncitan seperti makanan dan minuman (F&B) serta pakaian. Perkhidmatan pengangkutan itu dijangka bertambah kepada 32 laluan pada 2030.
Disebabkan kegiatan ekonomi di stesen bawah tanah yang aktif, tidak ramai penduduk kelihatan di jalanan pada waktu siang. Mereka keluar lewat petang dan malam untuk makan dan membeli-belah di zon fesyen Nanshan Boulevard, atau beriadah di She Kao, kawasan popular yang menampilkan air pancut berirama sekaligus menjadi antara ritma yang mengisi malam di Shenzhen.
Menariknya, di She Kao juga terletak sebuah kapal persiaran hadiah kerajaan Perancis, simbol persahabatan dan hubungan diplomatik antara dua negara sekaligus simbolik impian China untuk berlayar ke tujuh lautan dunia.
Komuniti industri dan perniagaan Shenzhen (dan seluruh China) berpegang pada falsafah perniagaan bahawa semua rakan niaga adalah satu keluarga. Mereka menjalin persahabatan dan berharmoni serta berkongsi pencapaian teknologi dan kemakmuran demi kesejahteraan global.
Falsafah ini boleh dijadikan inspirasi kepada Malaysia. Kita boleh memanfaatkan pengalaman pembangunan Shenzhen dalam membina tamadun berekologi, reka bentuk bandar, taman hijau, ruang riadah serta sistem teknologi pintar walaupun dalam skala lebih kecil.
Strategi kerajaan China memanfaatkan kedudukan Hong Kong, yang ketika itu di bawah koloni British, sebagai pemangkin kepada pembangunan Shenzhen. Langkah ini seharusnya menjadi teladan kepada Malaysia untuk memajukan bandar sempadan secara terancang.
Kerajaan Johor, misalnya, sedang membangunkan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura, satu langkah yang ada persamaan dengan strategi Shenzhen. Mungkin Johor memerlukan pelan induk yang lebih menyeluruh supaya hasil pembangunan sempadan dapat memberi impak besar, inklusif, mampan serta mensejahterakan, menjadikan Johor Bahru kota dunia berpaksikan teknologi hijau, berteknologi dan kesejahteraan rakyat.
Shenzhen kini menjadi pusat kelahiran syarikat multinasional gergasi dunia yang kekal tahan menghadapi tekanan perang ekonomi global. Ia adalah Lembah Silikon China dan merekodkan jutawan kelima tertinggi di dunia. Makmal R&D mereka terus menghasilkan inovasi dan teknologi baharu secara berterusan serta mengatasi pesaing global lain.
Antara pencapaian hebatnya adalah pembangunan Brain Computer Interface (BCI), teknologi rawatan dan pemulihan saraf paling maju di dunia. Shenzhen Second People’s Hospital, misalnya, menawarkan 11 jenis terapi pemulihan saraf dan sebahagiannya tidak ditawarkan mana-mana negara.
Hospital ini adalah satu daripada pusat R&D kesihatan nasional China di mana setiap hasilnya akan dijadikan piawaian kebangsaan atau dasar untuk dilaksanakan di seluruh negara.
Kini robot pembantu perubatan berteknologi AI digunakan secara meluas. Ia melakukan diagnosis, saringan kesihatan dan mengeluarkan laporan secara digital, sebelum doktor mengesahkan dan menetapkan ubat. Sebuah syarikat di Shenzhen telah menjual lebih 200 robot perubatan AI untuk digunakan di farmasi luar bandar. Syarikat sama sedang membangunkan generasi kedua ‘doktor robot’ yang lebih canggih.
Malaysia mungkin boleh menggunakan khidmat robot ini sebagai satu babak baharu dalam mentransformasi kemudahan kesihatan penduduk dan cara mengatasi kekurangan doktor perubatan terutama di luar bandar serta pedalaman.
Shenzhen bukan sekadar kisah kejayaan ekonomi metropolis tetapi lambang falsafah pembangunan insan, teknologi dan kesejahteraan. Dalam tempoh hanya empat dekad, sebuah kampung nelayan berubah menjadi kota dunia yang berdaya saing, berinovasi dan sejahtera.
Dari Shenzhen yang dijangka menjadi kota terbesar ke-10 dunia pada 2035, kita belajar bahawa kemajuan bukan diukur pada pencakar langit atau angka pertumbuhan ekonomi semata-mata tetapi pada nilai insani, disiplin dan kesepaduan antara manusia, teknologi serta alam. – UTUSAN
PENULIS ialah pengamal media dan penulis politik bebas.










