Tentera Israel 'luaskan' jajahan di Lubnan, bina tembok konkrit lintasi Garisan Biru - Utusan Malaysia

Tentera Israel ‘luaskan’ jajahan di Lubnan, bina tembok konkrit lintasi Garisan Biru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Pasukan Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) mengesahkan satu tembok konkrit yang dibina tentera Israel melintasi Garisan Biru, sekali gus memasuki wilayah Lubnan dalam tinjauan dilakukan bulan lalu.

Garisan Biru ialah sempadan berdasarkan peta PBB yang memisahkan Lubnan daripada Israel serta Bukit Golan yang diduduki rejim itu.

Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Stephane Dujarric, berkata tembok berbentuk T yang dibina Pasukan Pertahanan Israel (IDF) itu menyebabkan lebih 4,000 meter persegi kawasan Lubnan tidak dapat diakses penduduk tempatan. UNIFIL turut melaporkan pembinaan bahagian tambahan tembok itu yang juga melintasi Garisan Biru berhampiran tenggara Yaroun.

Menurut Dujarric, UNIFIL sudah memaklumkan IDF mengenai pelanggaran tersebut dan meminta tembok berkenaan dialihkan bagi mematuhi sempadan yang diiktiraf PBB.

Gambar yang dirakam dari Maroun al-Ras di selatan Lubnan turut menunjukkan tembok penghadang konkrit itu semakin memasuki kawasan berhampiran Garisan Biru.

UNIFIL dalam kenyataan berasingan menegaskan kewujudan serta pembinaan struktur oleh Israel di dalam wilayah Lubnan adalah pelanggaran kepada Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB, selain mencabuli kedaulatan dan keutuhan wilayah negara itu.

Bagaimanapun, seorang jurucakap tentera Israel menafikan dakwaan tembok tersebut melintasi Garisan Biru.

Katanya, pembinaan tembok itu adalah sebahagian daripada rancangan besar IDF sejak 2022 dan diperkukuh selepas perang tercetus bagi meningkatkan halangan fizikal di sepanjang sempadan utara.

Tembok berkenaan menjadi satu lagi titik ketegangan dalam hubungan Lubnan–Israel yang sedia tegang akibat insiden rentas sempadan berulang sejak tahun lalu. UNIFIL menegaskan pihaknya terus memantau keadaan bagi mengelakkan ketidakstabilan semakin memuncak di kawasan terbabit.

UNIFIL yang ditubuhkan pada 1978 kini beroperasi di kawasan antara Sungai Litani di utara dan Garisan Biru di selatan, dengan kekuatan lebih 10,000 anggota tentera dari 50 negara serta sekitar 800 kakitangan awam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×