Trump mahu saman BBC AS$5 bilion minggu depan - Utusan Malaysia

Trump mahu saman BBC AS$5 bilion minggu depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan beliau akan menyaman BBC sehingga AS$5 bilion berikutan penyuntingan mengelirukan satu daripada ucapannya yang disiarkan sebelum rusuhan di Capitol AS pada 2021.

Trump berkata tindakan itu akan diambil minggu depan kerana BBC sudah mengaku menipu dalam penyuntingan video tersebut.

“Kami akan menyaman mereka antara satu bilion hingga lima bilion dolar, mungkin minggu depan. Saya rasa saya terpaksa lakukan kerana mereka sendiri mengaku menipu,” katanya ketika bercakap kepada pemberita di atas pesawat Air Force One.

Peguam Trump sebelum ini menghantar surat kepada BBC pada Isnin lalu, menuduh penyiar itu mencemarkan nama baik presiden dan memberi tempoh sehingga Jumaat untuk meminta maaf serta membayar pampasan.

Trump menegaskan, rakyat Britain amat marah kerana perkara itu menunjukkan BBC sebagai penyiar berita palsu.

Beliau juga bercadang membangkitkan isu berkenaan dengan Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, yang menyokong kebebasan penyiaran tetapi enggan memihak kepada Trump.

Pada Isnin, BBC memohon maaf kerana memberi tanggapan dalam dokumentari yang disiarkan tahun lalu mengenai Trump menggesa “tindakan ganas” sebelum serangan penyokongnya ke Capitol AS pada 6 Januari 2021.

Kontroversi berhubung penyuntingan video itu turut menyebabkan pengarah urusan BBC dan ketua eksekutif berita organisasi itu meletak jawatan. Pengerusi BBC, Samir Shah, dilaporkan menghantar surat peribadi ke Rumah Putih untuk memohon maaf kepada Trump atas penyuntingan ucapan presiden.

Bagaimanapun, BBC menegaskan mereka tidak bersetuju terdapat asas bagi tuntutan fitnah walaupun menyesali cara klip video itu disunting.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×