Dari laut flotillake ombak solidariti

Dari laut flotilla ke ombak solidariti

SOLIDARITI maya membuka ruang penyatuan rakyat pelbagai bangsa dalam komuniti global yang menolak kezaliman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GELOMBANG perjuangan Global Sumud Flotilla (GSF) yang bermula pertengahan 2025 bukan sekadar pelayaran membawa bantuan ke Gaza tetapi simbol penyatuan semangat kemanusiaan sejagat.

Kapal-kapal dari Barcelona, Itali, Tunisia dan Greece berlayar menembusi sekatan dengan berhadapan ribut, dron dan ancaman tentera laut Zionis.

Di sebalik cabaran itu, keberanian lebih 500 aktivis dari 44 negara menyerlahkan tekad mempertahankan hak asasi dan menolak penindasan.

Namun, perjuangan ini tidak terhenti di lautan. Ia menjalar ke dunia maya, membentuk ombak solidariti digital di platform seperti Instagram, TikTok, X, dan Telegram.

Fenomena ini melahirkan kesedaran kolektif global bagi jutaan manusia bersatu menyebarkan maklumat, menolak propaganda dan memperjuangkan naratif kemanusiaan.

Setiap perkongsian di media sosial menjadi manifestasi empati dan keprihatinan terhadap nasib rakyat Gaza.

Apabila 495 aktivis termasuk 23 rakyat Malaysia ditahan, solidariti dunia semakin membara. Ribuan berhimpun secara fizikal dan maya, manakala lebih 20,000 rakyat Malaysia mendaftar menyertai misi susulan. Ini menunjukkan semangat sumud membentuk jaringan budaya, seni dan aktivisme kemanusiaan yang bersepadu.

Dari sudut sosial, solidariti maya membuka ruang penyatuan rakyat pelbagai bangsa dalam komuniti global yang menolak kezaliman. Dari sudut politik pula, ia mencetuskan tekanan diplomatik terhadap rejim yang melanggar undang-undang antarabangsa. Rakaman langsung dan laporan segera dari peserta flotilla menjadi bukti sahih yang mengubah pandangan media dan masyarakat dunia terhadap isu Gaza.

Akhirnya, Gelombang sumud membuktikan perjuangan tidak lagi terbatas pada senjata tetapi turut berdenyut di ruang digital.

Dalam dunia yang cuba menormalkan kezaliman, solidariti menjadi nadi kekuatan umat dengan setiap perkongsian adalah suara penentangan dan setiap doa adalah senjata perjuangan.

Sumud moden kini hidup melalui iman, kesatuan dan teknologi yang menyatukan manusia menentang kezaliman.-UTUSAN

NUR NADIYATUL HUSNA ZULKIFLY
Sarjana Muda Usuluddin dan Dakwah,
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×