Anugerah, gelaran bukan sembarang kurniaan

Anugerah, gelaran bukan sembarang kurniaan

ANUGERAH darjah kebesaran, bintang dan pingat ialah pengiktirafan rasmi negara kepada individu berjasa, berani dan cemerlang dalam pelbagai bidang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA sememangnya kaya dengan tradisi dalam menghargai rakyatnya yang memberi sumbangan besar kepada negara. Antara mekanisme penghargaan ini ialah melalui penganugerahan darjah kebesaran, bintang dan pingat.

Anugerah darjah kebesaran, bintang dan pingat bukanlah sekadar lambang status tetapi pengiktirafan rasmi daripada negara atau negeri kepada individu yang memberikan sumbangan yang besar, keberanian luar biasa serta kejayaan cemerlang dalam pelbagai bidang.

Ini selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong pada 7 September tahun lalu sempena Hari Keputeraan Baginda yang mengingatkan darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan bukan untuk dibeli atau dilobi, sebaliknya hanya dikurniakan kepada individu yang benar‑benar layak serta berjasa besar kepada kerajaan dan negara.

Berdasarkan rekod daripada 2024 sehingga kini, Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa, Jabatan Perdana Menteri (BIUPA, JPM) menerima hampir 90 pertanyaan berhubung pengesahan status anugerah-anugerah yang diterima atau digunapakai oleh individu tertentu.

Dalam hal ini, Akta Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Anugerah 2017, atau lebih dikenali sebagai Akta 787 telah lama diperkenalkan. Akta ini mengandungi klausa-klausa yang bertujuan untuk mencegah penyalahgunaan, penipuan atau pemalsuan gelaran, lambang dan anugerah.

Sebelum wujudnya akta ini, terdapat beberapa kes melibatkan pembelian gelaran palsu, individu menggunakan anugerah yang tidak sah untuk kepentingan peribadi termasuk menerima anugerah asing yang tidak diiktiraf kerajaan.

Situasi ini bukan sahaja mencemarkan imej institusi diraja dan negara, malah turut mengikis kepercayaan awam terhadap sistem pengiktirafan sedia ada.

Akta itu memperuntukkan hukuman denda atau hukuman penjara kepada individu yang disabitkan dan dijatuhi hukuman bagi kesalahan-kesalahan dinyatakan. Hukuman ini menunjukkan mesej jelas kerajaan untuk membanteras kegiatan berkenaan.

Melalui Jadual Pertama akta ini, turut disenaraikan negara dan ketua negara yang diiktiraf kerajaan bagi penerimaan anugerah daripada negara asing.

Berdasarkan akta ini juga individu yang dicalonkan untuk menerima anugerah daripada Ketua Negara Asing perlu mendapat kelulusan kerajaan (melalui Kementerian Luar Negeri) dengan perkenan bertulis daripada Yang di-Pertuan Agong.

Seseorang individu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 sekiranya didapati bersalah menerima dan menggunapakai anugerah daripada ketua negara asing tanpa kelulusan kerajaan.

Akta ini turut digunapakai oleh beberapa negeri lain seperti Johor, Perak, Kelantan, Melaka, Pahang, Selangor dan Terengganu dalam menjaga integriti anugerah yang diperkenankan Sultan dan Raja Pemerintah di negeri berkenaan.

Dengan adanya undang-undang seperti ini, ia dapat membantu meningkatkan kesedaran masyarakat agar lebih berhati-hati dengan tawaran daripada pihak-pihak tertentu yang menawarkan ‘bantuan’ untuk mendapatkan darjah-darjah tertentu.

Selain itu, masyarakat juga perlu berwaspada di atas tindakan tidak bertanggungjawab individu-individu yang menggunapakai gelaran tertentu untuk meyakinkan sesuatu urusan dengan tujuan menipu ataupun lain-lain niat jahat.

Bagi kesalahan menggunakan mana-mana darjah kebesaran dan gelaran tanpa kurniaan yang sah daripada Yang di-Pertuan Agong, seseorang individu boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun sekiranya didapati bersalah.

Pada ketika ini, sekiranya terdapat sebarang keraguan kepada gelaran-gelaran pada individu tertentu orang ramai boleh menyemak senarai penerima darjah kebesaran yang membawa gelaran melalui laman web BIUPA, JPM (www.istiadat.gov.my) dan melaksanakan semakan silang kepada urusetia yang menguruskan penganugerahan darjah kebesaran, bintang dan juga pingat di lain-lain negeri.-UTUSAN

SHAIFUL AMRI AHMAD SAFIAN
Bekas Setiausaha Sulit Kanan Tuanku Raja Perlis &
Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan
Antarabangsa (BIUPA),
Jabatan Perdana Menteri (JPM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×