BAITULMUQADDIS: Beberapa anggota tentera Israel mendedahkan pembunuhan orang awam Palestin di Semenanjung Gaza dilakukan dengan arahan pegawai atasan ketika norma undang-undang dan ketenteraan runtuh sepanjang dua tahun perang kejam rejim tersebut di wilayah berkenaan, lapor Agensi Anadolu.
Dalam sebuah dokumentari yang bakal disiarkan di Britain melalui saluran ITV pada Isnin lalu, seorang komander unit kereta kebal Israel yang dikenali sebagai Daniel mengakui askar dibenarkan menembak tanpa batasan.
“Jika kamu mahu menembak tanpa kawalan, kamu boleh,” katanya sambil menggambarkan suasana peperangan yang tidak lagi tertakluk kepada sebarang peraturan.
Sejak Oktober 2023, tentera Israel membunuh lebih 69,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 170,000 orang, menjadikan Gaza hampir tidak dapat didiami.
Beberapa anggota tentera yang ditemu bual, termasuk yang enggan dikenali, turut mendedahkan orang awam Palestin dijadikan perisai manusia sepanjang konflik tersebut, menurut laporan The Guardian.
Kapten Yotam Vilk, pegawai kor armor Israel, mengakui tentera tidak lagi mematuhi prinsip operasi yang mewajibkan tembakan hanya dilepaskan apabila musuh mempunyai keupayaan, niat dan peluang untuk menyerang.
“Di Gaza, tiada lagi konsep ‘keupayaan, niat dan peluang’. Yang ada hanyalah syak wasangka, seseorang yang berjalan di kawasan larangan sudah cukup untuk ditembak,” katanya.
Seorang lagi tentera yang hanya dikenali sebagai Eli pula berkata, keputusan untuk membunuh tidak lagi berpandukan peraturan, sebaliknya bergantung kepada hati nurani komander di lapangan.
Dia menceritakan bagaimana seorang pegawai memerintahkan sebuah kereta kebal memusnahkan bangunan hanya kerana seorang lelaki menjemur pakaian, yang mengakibatkan kematian dan kecederaan orang awam.
Dokumentari itu turut mendedahkan insiden tentera Israel melepaskan tembakan ke arah orang awam yang berlari mendapatkan bantuan makanan di pusat agihan dikawal Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF), yang disokong Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekurang-kurangnya 944 orang awam Palestin terbunuh akibat tembakan tentera Israel berhampiran pusat bantuan seperti itu.
Pendedahan tersebut juga menyorot penularan retorik ekstremis dalam kalangan pemimpin agama dan ahli politik Israel yang menggambarkan semua rakyat Palestin sebagai sasaran sah selepas peristiwa 7 Oktober.
“Apabila kamu sering mendengar perkara itu, lama-kelamaan kamu mula mempercayainya,” ujar Daniel.
Pada September lalu, Suruhanjaya Siasatan PBB mendapati Israel telah melakukan jenayah genosid di Gaza, sebelum gencatan senjata dimeterai pada 10 Oktober.
“Saya rasa mereka telah memusnahkan segala kebanggaan saya sebagai rakyat Israel, sebagai pegawai IDF. Yang tinggal hanyalah rasa malu,” kata Daniel menutup pengakuannya dalam dokumentari tersebut. -AGENSI










