PETALING JAYA: Semua warga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu sentiasa memperkukuh budaya kerja berintegriti, memperkasa akhlak mulia dan memastikan kesiapsiagaan mental serta fizikal dalam melaksanakan amanah dengan cemerlang.
Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong berkata, perkara itu dituntut terhadap setiap warga pasukannya di negeri itu dalam melaksanakan amanah.
Menurutnya, susulan itu pihaknya dengan kerjasama Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme (BCP) menganjurkan Program Jerayawara Jelajah Integriti SPRM Kedah Tahun 2025 di Pejabat SPRM Anak Bukit, Kedah sebagai inisiatif memperkukuh perkara itu.
“Program seumpama ini adalah langkah pencegahan dan kawalan ke atas pegawai SPRM, khususnya di Kedah. Kita tidak perlu menunggu berlaku kejadian pelanggaran peraturan untuk bertindak.
“Langkah pencegahan dan peringatan sebegini lebih penting dalam memastikan tahap disiplin, kesihatan mental dan produktiviti pegawai sentiasa berada pada tahap terbaik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Program berkenaan menampilkan tiga modul latihan komprehensif membabitkan integriti dan agama bagi menekankan nilai murni dan konsep integriti dari perspektif agama serta psikologi yang memberi fokus kepada pengurusan emosi, tekanan kerja dan kepentingan kesihatan mental.
Selain tatatertib yang memperincikan peraturan tatatertib serta implikasi serius pelanggaran etika kerja.
“Selaras komitmen SPRM terhadap integriti dalaman, ujian saringan air kencing turut dijalankan ke atas semua pegawai dan kakitangan SPRM Kedah bagi memastikan warganya bebas pengaruh dadah dan ketum serta memperkukuh kesiapsiagaan fizikal mental,” katanya di sini hari ini.
Katanya, program itu juga menyokong aspirasi Program Keep Malaysia Clean (KMC) dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1 Oktober lalu yang menekankan pembudayaan nilai murni dalam masyarakat.
Ia turut mematuhi arahan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang menegaskan bahawa setiap warga SPRM wajib menjaga disiplin dan menjauhi penyalahgunaan dadah.
“SPRM Kedah komited untuk terus memperkasa integriti, profesionalisme dan kesejahteraan warga kerja demi menjunjung amanah negara,” katanya. – UTUSAN









