Tang Jie-Ee Wei kembali cabar Terbuka Australia

Tang Jie-Ee Wei kembali cabar Terbuka Australia

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei akan kembali menghayun raket pada Kejohanan Terbuka Australia pada minggu depan. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Gandingan juara dunia negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei disahkan kembali beraksi pada Terbuka Australia di Sydney, 18 hingga 23 November ini, selepas berehat sebulan susulan kecederaan bahu Tang Jie.

Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto berkata keputusan menarik diri daripada Kumamoto Masters yang berlangsung minggu ini dibuat bagi mengelakkan risiko kecederaan bertambah serius selepas Tang Jie terkandas di suku akhir Terbuka Perancis, bulan lalu.

“Untuk Kumamoto kami putuskan tarik diri kerana bimbang risiko jika dipaksa beraksi. Doktor juga sarankan begitu.

“Tapi untuk kejohanan seterusnya di Australia, semuanya nampak okey. Cuma sekarang dia kurang selesa sedikit, lebih kepada ‘timing’ apabila melakukan smash selepas lama tidak buat. Minggu ini baru mula pukul kuat,” kata Nova kepada Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, semalam.

Nova menjelaskan selain isu ‘timing’, semua aspek latihan Tang Jie berjalan lancar, menunjukkan tahap pemulihan hampir sepenuhnya.

“Selain smash, semua latihan dia sudah normal,” tambahnya.

Gandingan No.4 dunia itu sebelum ini mencatat pencapaian terbaik musim ini sebagai naib juara China Masters pada September lalu, dan sudah memastikan tiket automatik ke Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China, 17 hingga 21 Disember.

Nova berkata, Terbuka Australia bakal menjadi pentas terakhir sebelum mereka turun bagi Sukan SEA Thailand pada 7 hingga 10 Disember, sekaligus menguji tahap kecergasan dan kebolehan mereka kembali beraksi secara optimum.

“Ya, mudah-mudahan tidak ada sakit lagi. Itulah kejohanan terakhir sebelum Sukan SEA dan Jelajah Dunia Akhir,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×