WALAUPUN generasi strawberi membawa potensi baharu dari segi kreativiti, kesedaran sosial dan empati, mereka sering berdepan tanggapan serong. Antara label negatif sering dilekatkan ialah manja, lembik, tidak setia dalam pekerjaan dan cepat melatah terhadap tekanan.
Dalam konteks tugasan kerja, tenaga kerja daripada generasi ini sering dilihat kurang fokus, sukar menerima kritikan dan tidak berdisiplin dalam pekerjaan.
Namun, tanggapan ini perlu dilihat dalam konteks sosial lebih meluas. Generasi terdahulu membesar dalam suasana kesusahan ekonomi dan struktur sosial tegas, di mana daya tahan dibina melalui cabaran fizikal dan kekangan hidup.
Sebaliknya, generasi strawberi berdepan cabaran yang lebih abstrak seperti tekanan mental, isolasi sosial serta budaya perbandingan berterusan akibat media digital. Justeru, daya tahan generasi ini perlu difahami dalam bentuk baharu.
Menyantuni generasi strawberi bukan bermakna memanjakan mereka tetapi menyesuaikan pendekatan pendidikan dan sosial dengan konteks semasa. Dalam konteks pekerjaan, majikan perlu memahami generasi ini bukan hanya melalui pencapaian material tetapi melalui kesejahteraan dan makna kerja.
Kepimpinan berasaskan empati, penghargaan dan keseimbangan kerja-hidup akan menghasilkan tenaga kerja yang lebih setia dan produktif. Organisasi yang memahami kehendak psikososial generasi strawberi berpotensi membentuk budaya kerja lebih dinamik dan inklusif.
Paling penting, proses menyantuni ini harus berpaksikan empati dan hikmah. Generasi terdahulu perlu belajar mendengar tanpa menghakimi, manakala generasi muda perlu belajar menerima kritikan dengan terbuka. Nilai-nilai seperti disiplin, kesungguhan dan tanggungjawab kekal relevan selain perlu disemai dengan pendekatan yang sesuai dengan gaya komunikasi serta dunia mereka.
Generasi lama dan generasi strawberi tidak harus dilihat sebagai dua kelompok bertentangan, sebaliknya sebagai dua bahagian dalam satu kesinambungan sosial. Generasi lama membawa pengalaman dan kebijaksanaan, manakala generasi baharu membawa tenaga, inovasi dan kesedaran sosial yang tinggi. Perpaduan antara kedua-dua generasi ini boleh menjadi kekuatan negara jika dijalin melalui dialog terbuka dan saling memahami.
Ibu bapa, pendidik dan pemimpin organisasi perlu menjadi jambatan menghubungkan dua dunia ini. Di satu pihak adalah dunia tradisional berasaskan nilai ketabahan manakala, di satu pihak lain, dunia moden yang menuntut keseimbangan serta kesejahteraan emosi.
Melalui bimbingan berasaskan empati dan kefahaman silang generasi, masyarakat boleh melahirkan generasi muda yang bukan sahaja peka terhadap diri sendiri tetapi juga matang menghadapi cabaran global.
Akhirnya, generasi strawberi bukanlah simbol kelemahan tetapi refleksi terhadap transformasi sosial, ekonomi dan teknologi masa kini. Melabel mereka sebagai manja atau tidak tahan diuji hanya akan menjarakkan lagi hubungan antara generasi. Apa diperlukan ialah kefahaman sensitiviti bukan kelemahan tetapi timbunan potensi perlu dibimbing agar menjadi kekuatan.
Menyantuni generasi strawberi bermaksud membina komunikasi antara dunia lama dan baharu, antara disiplin dan empati, antara ketabahan dan keseimbangan diri. Apabila generasi muda ini difahami dan dibimbing dengan hikmah, mereka mampu menjadi kelompok yang bukan sahaja peka terhadap perubahan malah berdaya tahan, berfikiran kritis dan matang dalam tindakan.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MOHD. HAFIZ ZULFAKAR
Pensyarah Kanan ,
Jabatan Teknologi dan Pengajian Rantaian Bekalan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan,
Universiti Teknologi Mara (UiTM),
Kampus Puncak Alam










