BELEM: Negara-negara kaya tidak berminat memerangi krisis iklim, ketika China giat mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju dunia dalam pengeluaran dan penggunaan tenaga bersih.
Presiden Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP30), André Corrêa do Lago, berkata lebih banyak negara sepatutnya mencontohi pendekatan China daripada terus merungut mengenai persaingan dalam sektor tenaga hijau.
“Pengurangan semangat di negara-negara maju menunjukkan bahawa negara-negara selatan kini sedang bergerak ke hadapan,” kata diplomat Brazil itu, yang mengetuai Sidang COP30 yang berlangsung di Belém sejak kelmarin.
Beliau turut memuji usaha China yang bukan sahaja merupakan pengeluar terbesar gas rumah hijau di dunia, tetapi juga pengeluar dan pengguna utama tenaga rendah karbon.
“China menghasilkan penyelesaian yang memberi manfaat kepada semua, bukan hanya kepada negaranya.
“Panel solar kini lebih murah dan sangat kompetitif berbanding tenaga bahan api fosil. Jika bercakap tentang perubahan iklim, ini adalah perkembangan positif,” katanya.
Menteri dan pegawai tinggi dari 194 negara akan berusaha merangka pelan tindakan pada Sidang COP30 bagi memastikan dunia kekal dalam had pemanasan global 1.5 darjah Celsius, seperti digariskan di bawah Perjanjian Paris, atau sekurang-kurangnya sedekat mungkin dengan sasaran itu.
Persidangan itu juga dijangka menetapkan pelan hala tuju bagi menamatkan penggunaan bahan api fosil serta memastikan negara miskin menerima bantuan yang diperlukan.
Antara tumpuan utama sidang itu adalah rancangan setiap negara untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, yang ketika ini dijangka membawa kepada peningkatan suhu global sebanyak 2.5 darjah Celsius.
Sementara itu, Brazil selaku tuan rumah memberi tumpuan kepada aspek pelaksanaan, dengan memastikan komitmen persidangan diterjemah ke dalam tindakan.
Ini termasuk pengurangan pelepasan gas rumah hijau, peningkatan tiga kali ganda tenaga boleh diperbaharui menjelang 2030 dan menggandakan kecekapan tenaga.










