TEL AVIV: Tentera Israel mengumumkan rancangan merekrut 12,000 anggota baharu, termasuk 7,000 bagi unit tempur, berikutan peningkatan ketegangan dengan kumpulan Hezbollah di sempadan Lubnan.
Langkah itu diambil ketika pasukan Israel memperhebat serangan udara dan bedilan artileri di selatan Lubnan, di tengah kebimbangan kemungkinan tercetusnya konfrontasi lebih besar dengan kumpulan bersenjata tersebut.
Menurut laporan penyiar awam Israel, Kan, pada Sabtu lalu, pegawai Israel memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) mengenai Hezbollah kini menyusun semula kekuatannya.
Israel turut menghantar mesej kepada tentera Lubnan, memberi amaran operasi ketenteraan akan diteruskan dengan tegas sekiranya Beirut gagal membendung kegiatan kumpulan itu.
Minggu lalu, Menteri Pertahanan Israel, Yisrael Katz, menuduh Hezbollah “bermain dengan api” dan mengkritik Presiden Lubnan kerana didakwa “melengah-lengahkan usaha melucutkan senjata kumpulan tersebut.”
Katz menegaskan kerajaan Lubnan perlu memenuhi tanggungjawabnya untuk melucutkan senjata Hezbollah dan mengusir kumpulan itu dari selatan negara tersebut.
“Kami tidak akan membenarkan penduduk di utara Israel terus hidup dalam ketakutan,” katanya.










