YALA (THAILAND): Kegiatan licik sindiket memalsukan surat pengesahan sijil nikah pasangan rakyat Malaysia yang bernikah di Selatan Thailand terbongkar, selepas pihak Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla mengesan beberapa dokumen klon menggunakan nombor siri sah tetapi nama pasangan palsu.
Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi turut mengesahkan terdapat lima hingga enam kes pemalsuan dikesan setiap bulan, melibatkan surat pengesahan rasmi yang sepatutnya hanya dikeluarkan kepada pasangan sah berdaftar di pejabat konsulat.
“Sindiket ini bukan sahaja meniru sijil nikah dikeluarkan majlis agama Islam di Selatan Thailand, malah mengklon surat pengesahan rasmi konsulat Malaysia lengkap dengan nombor siri dan format sebenar.
“Pemalsuan itu terbongkar apabila beberapa jabatan agama Islam negeri di Malaysia menghubungi pihak konsulat bagi mengesahkan ketulenan dokumen yang dikemukakan oleh pasangan dari Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia dalam satu program bersama anak yatim dan pelajar daif di Malayu Bangkok, di sini semalam.
Ahmad Fahmi berkata, setiap pasangan rakyat Malaysia yang bernikah di Selatan Thailand perlu hadir mendaftar perkahwinan mereka di pejabat konsulat di Songkhla untuk memudahkan urusan pendaftaran nikah pejabat agama di Malaysia.
“Ketika pasangan hadir di pejabat konsulat, mereka perlu menunjukkan sijil nikah asli yang dikeluarkan majlis agama tempat pernikahan dilakukan.
“Pegawai kami bertanya beberapa soalan sebelum mengeluarkan surat yang menyatakan sijil nikah itu adalah asli,” katanya.
Ahmad Fahmi berkata, surat dikeluarkan konsulat Malaysia mempunyai ciri-ciri keselamatan termasuk mengandungi nama pasangan dan nombor siri.
“Surat dan sijil itulah yang akan pasangan berkenaan tunjukkan kepada pejabat agama Islam di Malaysia sebagai bukti mereka bernikah. Dan, surat konsulat itulah yang sindiket terbabit klon atau palsukan.
“Pejabat agama Islam di Malaysia akan berhubung dengan konsulat apabila mendapati terdapat sesuatu yang mencurigakan terhadap surat berkenaan. Bila kami semak, memang nombor siri adalah benar, tetapi nama pasangan adalah orang lain.
“Pasangan yang nama mereka tercatat dalam surat klon itu tidak pernah datang pun ke pejabat konsulat untuk pendaftaran. Konsulat Malaysia di Songkhla telah melaporkan pemalsuan surat pengesahan itu kepada pihak berkuasa di Malaysia,” katanya. – UTUSAN











