PETALING JAYA: Pemain skuad Harimau Malaya tidak dipilih secara ‘tangkap muat’ sebaliknya mereka yang dilihat sesuai dengan strategi dan taktikal yang dirangkanya.
Pengendali skuad kebangsaan, Peter Cklamovski menjelaskan semua pemain yang berada dalam ‘radar’ barisan kejurulatihan di mana prestasi mereka sentiasa dipantau dan dinilai.
Katanya, semua pemain yang dipanggil untuk menyertai skuad negara memenuhi kriteria yang diperlukan, selain melakukan beberapa tapisan sebelum memuktamatkan senarai akhir bagi memastikan kemenangan mampu dikecapi di peringkat antarabangsa.
Menurut Cklamovski, beliau akan memanggil pemain yang disifatkan mampu untuk menggalas tanggungjawab diberikan di pentas antarabangsa memandangkan aksi antarabangsa memberikan satu dimensi dan cabaran yang berbeza kepada barisan pemain.
“Dengan semua proses yang dijalankan, perkara paling penting yang perlu dilakukan oleh saya sebagai ketua jurulatih adalah mengenalpasti pemain yang dapat melaksanakan cara permainan dan intensiti yang kami mahukan di peringkat antarabangsa.
“Tuntutan untuk aksi antarabangsa yang kami inginkan adalah sangat berbeza jika hendak dibandingkan dengan liga domestik.
“Jadi tanggungjawab saya adalah untuk memilih pemain yang boleh merapatkan jurang itu dan mempersembahkan prestasi yang dapat membantu Malaysia mencapai kejayaan di peringkat global,” katanya.
Panggilan kem latihan kali ini menyaksikan tiada rombakan besar dilakukan Cklamovski bagi aksi Kelayakan Piala Asia 2027 berdepan Nepal di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 18 November ini.
Pengendali dari Australia itu mengekalkan 24 pemain dari skuad menentang Laos bagi aksi Kelayakan Piala Asia 2027 pada 9 dan 14 Oktober lalu dan membawa masuk seorang lagi pemain dari skuad B-23 tahun iaitu Aliff Izwan Yuslan selain daripada Muhammad Ubaidullah Shamsul.
Cklamovski turut memanggil kembali Matthew Davies yang sudah pulih daripada kecederaan serta membawa masuk seorang muka baharu iaitu Ryan Lambert.
Semua pemain dijangka melaporkan diri pada hari ini bagi hari pertama kem latihan pusat menjelang persediaan aksi Kelayakan Piala Asia 2027 berdepan Nepal. – UTUSAN










