Shah Firdaus beri isyarat positif kembali latihan ringan

Shah Firdaus beri isyarat positif kembali latihan ringan

Muhammad Shah Firdaus Sahrom
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jaguh berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom menunjukkan perkembangan positif apabila kembali menjalani latihan ringan selepas menjalani pembedahan lutut empat minggu lalu.

Kecederaan itu yang membelenggunya sebelum ini menyebabkan Shah Firdaus tidak dapat menyertai skuad negara ke Sukan SEA Thailand 2025 yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Pengarah teknikal berbasikal kebangsaan, John Beasley berkata, setelah empat minggu menjalani pembedahan, pelumba harapan negara itu menunjukkan perkembangan yang baik.

Beliau berkata, kecederaan yang dialaminya ternyata lebih serius daripada jangkaan awal.

“Pembedahan pada asalnya dirancang sebagai prosedur kecil dan tidak invasif dengan tempoh pemulihan yang cepat, tetapi ketika pembedahan dijalankan, pakar bedah mendapati terdapat kecederaan pada rawan (cartilage lesion) yang lebih besar berbanding diagnosis awal.

“Ia menyebabkan prosedur pembedahan perlu dilakukan secara lebih menyeluruh dan memerlukan tempoh pemulihan yang lebih panjang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kecederaannya sebelum ini menyebabkan Shah Firdaus terpaksa digugurkan daripada skuad negara ke Sukan SEA Thailand yang bakal diadakan pada Disember ini.

Menurutnya, Shah Firdaus perlu melalui proses pemulihan sebelum kembali bersaing secara berperingkat yang akan memberi kesan kepada jadual perlumbaannya dalam beberapa bulan akan datang.

“Jika proses pemulihan berjalan tanpa sebarang halangan, kami menjangkakan Shah Firdaus akan kembali berlumba sekitar Mac tahun hadapan dengan prestasi kompetitif penuh dijangka menjelang pertengahan tahun.

“Walaupun tempoh ini agak panjang, ia penting untuk membina semula kekuatan fizikal dan mental agar dia dapat kembali sebagai antara pelumba pecut terbaik dunia,” katanya.

Katanya, Shah Firdaus mengharungi situasi ini dengan sangat baik dan kekal positif sepanjang tempoh pemulihan.

“Selepas mendapat kebenaran untuk kembali menunggang basikal, jelas terpancar senyuman besar di wajahnya menandakan tanda semangat dan motivasi tinggi yang dimilikinya,” ujarnya.

Tambah beliau, setakat ini, Shah Firdaus telah berjaya beralih daripada fasa rehabilitasi kepada latihan ringan dan beliau bercadang akan meningkatkan intensiti latihan dan beban secara beransur-ansur dan terancang.

“Fokus utama kami ialah untuk membina semula tahap kecergasan keseluruhan sambil memperkuatkan otot, tendon dan ligamen di sekitar lutut.

“Seperti dijangka, terdapat sedikit pengecutan otot (muscle atrophy) namun dengan usaha konsisten dalam beberapa bulan akan datang, kami yakin Shah akan kembali mencapai kekuatan dan prestasi penuh,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN