Parti Amanah perlu kekal relevan, jadi parti pilihan masa depan

Parti Amanah perlu kekal relevan, sedia jadi parti pilihan masa depan

ULANG tahun ke-10 Parti Amanah Negara bukan hanya masa untuk meraikan kejayaan lampau, tetapi juga untuk bermuhasabah dan merancang masa depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARTI Amanah Negara (Amanah) baru sahaja menyambut ulang tahun ke-10 penubuhannya. Kini usia Amanah sudah mencapai sedekad berjuang dalam arena politik tanah air.

Sejak ditubuhkan pada 2015, parti ini telah melalui pelbagai fasa cabaran, pengkhianatan, kegagalan, kehilangan dan kejayaan demi memperkukuh kedudukannya dalam landskap politik Malaysia sebagai satu entiti progresif yang berteraskan nilai Islam namun bersifat inklusif.

Namun begitu, selepas sedekad berlalu, persoalan utama kini ialah: Bagaimana Amanah boleh terus relevan dan menjadi parti pilihan masa depan? Dengan barisan kepimpinan sedia ada, mampukah parti ini mempersiapkan diri untuk menghadapi generasi pengundi yang lebih muda, kritikal dan berinformasi.

Untuk menjadi parti masa depan, rakyat masa kini tidak lagi melihat kepada parti semata-mata, tetapi siapa yang memimpinnya. Adakah mereka jujur, kompeten dan benar-benar memahami tugas hakiki mereka sebagai ahli politik dan denyut nadi rakyat?

Adakah parti telah memiliki atau memperkukuh struktur akar umbi bagi melahirkan lebih ramai pemimpin pelapis yang berkaliber, terutamanya dalam kalangan wanita dan orang muda. Ada yang melihat Amanah parti yang “bernasib baik” yang berada “at the right place, at the right moment”.

Adakah pemimpin sedia ada mampu menguruskan kem-kem yang wujud dalam parti dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan? Perbezaan pendapat memang wujud dalam mana-mana pertubuhan.

Hatta dalam keluarga kita sendiri, tidak semua akan menyokong pasukan bola sepak yang sama. Namun, apa yang lebih penting ialah kemampuan satu-satu pemimpin itu mampu mengurus perbezaan pendapat yang timbul.

Antara rungutan paling kerap disuarakan di setiap konvensyen ialah “Para pimpinan tolonglah jenguk-jenguk ahli di bawah ini”. Mengapa keluhan sering kali timbul?

Sudah tentu kerana tidak ada komunikasi yang jelas dari pucuk pimpinan terhadap kebajikan dan keperluan akar umbi sehingga perkara ini diulang-ulang saban tahun. Akar umbi rasa terpinggir.

Ahli biasa macam tidak punya apa. Tapi para pimpinan dilihat mewah ke sana sini. Adakah ini budaya yang ingin kita lihat membarah dalam parti yang kita cinta ini.

Hanya tiga tahun selepas penubuhannya, Amanah berjaya membuktikan kematangan politik dan keupayaan menarik sokongan rakyat. Ini menjadikan Amanah antara parti politik termuda dalam sejarah Malaysia yang berjaya menyertai kerajaan persekutuan.

Amanah telah memainkan peranan penting dalam memperjuangkan dasar-dasar progresif dalam kerajaan.

Pemimpinnya diberikan kepercayaan untuk memegang jawatan-jawatan penting dalam kabinet, termasuk pernah menjadi Menteri Pertahanan, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Menteri Wilayah Persekutuan dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup. Parti Amanah juga diberikan amanah untuk jawatan Timbalan Menteri di Kementerian Pertahanan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Dalam tempoh tersebut, Amanah telah bersama-sama dengan pasukan Perdana Menteri dalam melaksanakan reformasi institusi, keadilan sosial, serta keutuhan pentadbiran yang bebas rasuah. Jenama Rahmah yang diangkat oleh Amanah diabadikan dalam beberapa skim dan bantuan kerajaan kepada rakyat terbanyak.

Dari segi akar umbi, Amanah juga telah memperluaskan jaringannya ke seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak. Kehadiran parti ini semakin dirasai di peringkat negeri dan kawasan Parlimen.

Ini membuktikan bahawa Amanah bukan sekadar ‘parti serpihan’, malah pernah digelar parti nyamuk yang dikatakan hanya akan bertahan selama tiga tahun, tetapi kini telah menjadi pemain penting dalam menentukan hala tuju politik Malaysia.

Amanah turut konsisten dalam memperjuangkan pendekatan politik matang dan sejahtera. Dengan slogan Islam rahmatan lil ‘alamin, parti ini membawa pendekatan yang sederhana, inklusif dan menolak ekstremisme.

Ia menjadi alternatif yang segar kepada rakyat Malaysia yang mahukan politik berasaskan nilai, bukan sekadar retorik atau sentimen perkauman dan agama yang sempit.

Akhir kata, ulang tahun ke-10 Parti Amanah Negara bukan hanya masa untuk meraikan kejayaan lampau, tetapi juga untuk bermuhasabah dan merancang masa depan. Ahli-ahli Amanah perlu bermuhasabah, demi masa depan, nak makan di restoran atau di warung pinggir jalan. – UTUSAN

RAJA Haziq ialah Ahli Amanah Bahagian Cheras.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×