PETALING JAYA: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung penularan satu klip video di aplikasi TikTok yang memaparkan seorang lelaki menuturkan kata-kata berunsur lucah terhadap seorang wanita warga asing ketika sedang bersiaran langsung di platform berkenaan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, seorang wanita warga Russia tampil membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, semalam, selepas mendakwa dirinya dipermalukan melalui video berkenaan.
Menurutnya, siasatan dijalankan berhubung tindakan lelaki berkenaan yang mengeluarkan perkataan lucah hingga menjejaskan maruah pengadu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti semua pihak yang terlibat dalam rakaman video tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, tular rakaman yang memaparkan seorang lelaki dipercayai berada di sebuah premis makanan bertindak menuturkan kata-kata tidak senonoh terhadap wanita tersebut yang sedang berada di meja bersebelahan ketika dia sedang makan bersama seorang wanita lain.
Perbuatan itu mengundang kecaman meluas di media sosial, termasuk pengguna di platform Threads yang menyifatkan tindakan lelaki berkenaan sebagai tidak bermoral dan memalukan.
Orang ramai turut mendesak tindakan undang-undang dikenakan bagi memberi pengajaran kepada pelaku serta membendung perbuatan menjatuhkan maruah individu di media sosial. – UTUSAN







