ACFTA 3.0 fasa baharu integrasi ekonomi ASEAN–China

ACFTA 3.0 fasa baharu integrasi ekonomi ASEAN–China

PENANDATANGAN Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0 menandakan era baharu kerjasama ekonomi serantau yang lebih moden, inklusif dan mampan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJURUS sebelum bermulanya Sidang Kemuncak ASEAN-CHINA ke-28 pada 28 Oktober lalu, ASEAN dan China menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0 di Kuala Lumpur.

Dokumen itu ditandatangani Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz selaku Pengerusi Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN dan Menteri Perdagangan China, Wang Wentao serta disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri China, Li Qiang.

ACFTA 3.0 signifikan tetapi malangnya kurang mendapat liputan dan perhatian. Dalam ucapan pembukaannya di Sidang Kemuncak ASEAN–China ke-28, Anwar sendiri menekankan naik taraf ini ialah langkah penting bagi memperdalamkan kerjasama ekonomi serta mencerminkan kekuatan Keberpusatan ASEAN yang berupaya berunding dengan semua kuasa besar secara berimbang.

Rundingan CAFTA 3.0 ini sebenarnya bermula sejak November 2022 untuk memodenkan kerangka Perjanjian Perdagangan Besar ASEAN-China (FTA) 2010 agar relevan dengan ekonomi digital dan peralihan hijau.

Rundingan mencapai penyelesaian substantif pada hujung 2023 dan dimuktamadkan pada Mei 2025 sebelum dimeterai pada 28 Oktober lalu.

Proses yang relatif pantas iaitu kurang tiga tahun dari mandat ke tanda tangan mencerminkan kesepaduan ekonomi ASEAN–China serta dorongan geopolitik semasa untuk memperkukuh jaringan perdagangan rantau ini.

ACFTA 3.0 bukan sekadar melonggarkan tarif tetapi juga memodenkan peraturan dan meluaskan skop kerjasama ASEAN–China agar selaras dengan realiti ekonomi semasa dan masa hadapan.

Dalam bidang ekonomi digital, protokol baharu memperkenalkan peruntukan untuk memudahkan perdagangan digital dan aliran data merentas sempadan, sekali gus membuka peluang dalam sektor seperti kecerdasan buatan (AI), fintech dan e-dagang.

Langkah ini turut disertai komitmen untuk mengekang amalan antipersaingan serta memperkukuh perlindungan pengguna dalam talian dan rentas sempadan.

Bagi ekonomi hijau dan tenaga mampan, ACFTA 3.0 memacu kerjasama peralihan hijau melalui fokus kepada tenaga boleh baharu, kecekapan tenaga dan penetapan standard kelestarian. Inisiatif ini menyokong sasaran penyahkarbonan rantau ini sambil memacu aliran masuk pelaburan yang lebih berkualiti.

Dari segi ketersambungan dan ketahanan rantaian bekalan, tumpuan diberikan kepada penyederhanaan prosedur kastam, pemudahcukaian perdagangan dan pengintegrasian rantaian nilai serantau.

Pendekatan ini bertujuan mengurangkan gangguan bekalan global dan meningkatkan kecekapan logistik merentas pasaran ASEAN–China.

Dalam aspek persaingan dan perlindungan pengguna, ACFTA 3.0 memperkenalkan bab khusus bagi mempertingkat keserasian peraturan dan keyakinan pengguna. Rangka kerja ini amat penting untuk menyokong peluasan perdagangan digital serta perkhidmatan rentas sempadan dengan cara yang adil dan selamat.

Mengenai perusahaan kecil dan sederhana (PKS), perjanjian ini memperuntukkan program kerjasama untuk memperkasa digitalisasi, pematuhan standard serta akses kepada pasaran dan pengetahuan. Matlamatnya adalah agar lebih banyak firma kecil dapat menikmati manfaat liberalisasi perdagangan secara inklusif.

Bagi akses pasaran dan pemudahcukaian perdagangan, ACFTA 3.0 menambah baik kemasukan bagi barangan, perkhidmatan dan pelaburan, di samping memantapkan proses kastam yang lebih cekap. Hasilnya, kos transaksi dan masa pelepasan dapat dikurangkan, sekali gus meningkatkan daya saing firma di seluruh rantau.

ACFTA 3.0 mempunyai kepentingan strategik yang besar kepada rantau ASEAN dan China dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.

Di tengah arus proteksionisme dan kitaran tarif yang dilaksanakan oleh beberapa kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat (AS), perjanjian ini menghantar isyarat dasar yang tegas menyokong perdagangan terbuka serta komitmen terhadap multilateralisme.

Ia memperkukuh kepastian dasar dengan mempelbagaikan pasaran eksport dan mengurangkan risiko gangguan bekalan antarabangsa.

Melalui penambahbaikan terhadap prosedur perdagangan dan pemansuhan halangan bukan tarif, ACFTA 3.0 turut mengukuhkan hubungan industri serantau serta mempercepatkan fasilitasi perdagangan bagi memastikan rantaian bekalan lebih lancar dan berdaya tahan.

Dari segi saiz pasaran dan momentum dagang, China kekal sebagai rakan dagang terbesar ASEAN selama 16 tahun berturut-turut dengan nilai perdagangan dua hala yang mencecah sekitar AS$771 bilion (RM 3.2 trilion ) hingga AS$772 bilion (RM 3.24 trilion) pada 2024.

Dengan jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) gabungan ASEAN yang kini bernilai antara AS$3.8 (RM 15.96 trilion) hingga AS$3.9 trilion ( RM 16.38 trilion), ACFTA 3.0 menyediakan platform kukuh untuk memperluas peluang pasaran dan meningkatkan integrasi ekonomi antara kedua-dua pihak.

Selain itu, ACFTA 3.0 memperkenalkan nilai tambah baharu yang menumpukan kepada sektor masa hadapan seperti ekonomi digital, ekonomi hijau dan industri farmaseutikal. Ia membolehkan perjanjian ini membuka jalan bagi pembangunan pertanian berteknologi tinggi, mobiliti elektrik serta fintech yang berdaya saing.

Pendekatan ini bukan sahaja membantu firma serantau menaikkan kedudukan dalam rantaian nilai global, malah mempercepat transformasi teknologi serta mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi yang mampu menyokong pertumbuhan ekonomi mampan di seluruh rantau.

KEMATANGAN DIPLOMASI
Secara keseluruhannya, ACFTA 3.0 menandakan fasa baharu dalam hubungan ekonomi serantau yang bukan sahaja memperkukuh daya saing ASEAN dan China, tetapi juga memperlihatkan kematangan diplomasi ekonomi kedua-dua pihak dalam menghadapi persekitaran global yang semakin kompleks.

Naik taraf ini menggambarkan keazaman bersama untuk mempertahankan sistem perdagangan bebas berasaskan peraturan. Pada masa sama menyesuaikan struktur kerjasama ekonomi dengan tuntutan era digital, hijau dan berdaya tahan.

Perjanjian ini bukan lagi sekadar instrumen tarif tetapi rangka strategik yang menggabungkan transformasi struktur ekonomi dengan visi pembangunan mampan.

Melalui tumpuan kepada ekonomi digital, tenaga boleh baharu serta rantaian bekalan serantau yang lebih bersepadu, ACFTA 3.0 meletakkan ASEAN dan China sebagai enjin pertumbuhan yang saling bergantung dan saling memperkukuh antara satu sama lain.-UTUSAN

 

PROFESOR Dr. Datuk Kasim Mansor ialah Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×