TIRANA: Sekumpulan saintis menemukan sarang labah-labah terbesar di dunia yang menempatkan lebih 110,000 ekor haiwan lapan kaki itu di dalam sebuah gua sulfur berhampiran sempadan Albania–Greece, sekali gus mencipta fenomena semula jadi yang luar biasa dan menggerunkan.
Penemuan itu dibuat di Sulphur Cave, kira-kira 50 meter dari pintu masuk gua berkenaan dan sarang gergasi yang terbentuk di sepanjang dinding laluan sempit berketinggian rendah itu dianggarkan meliputi kawasan seluas 106 meter persegi.
Jaringan sarang berlapis-lapis berbentuk corong itu menjadi tempat tinggal dua spesies labah-labah, Tegenaria domestica (labah-labah rumah) dan Prinerigone vagans, spesies kecil yang gemar pada persekitaran lembap dengan ukuran hanya sekitar tiga milimeter panjang.
“Kita masih belum sepenuhnya memahami keajaiban dunia semula jadi,” kata ketua penyelidik, Prof. Madya István Urák dari Universiti Sapientia Hungarian di Transylvania, Romania kepada portal Live Science.
Penemuan tersebut mencatat sejarah sebagai kes pertama perilaku komuniti bersama melibatkan dua spesies labah-labah berlainan.
Pasukan penyelidik menganggarkan kira-kira 69,000 ekor labah-labah rumah dan lebih 42,000 ekor P. vagans berkongsi ruang dalam struktur raksasa itu disamping turut melaporkan sebahagian sarang tersebut terlalu berat hingga berisiko tertanggal daripada dinding gua akibat beban sendiri.
Dalam laporan yang diterbitkan dalam jurnal Subterranean Biology, penyelidik menjelaskan persekitaran kaya sulfur di dalam gua itu mungkin mendorong kedua-dua spesies berkoloni dalam jumlah luar biasa.
Secara kebiasaannya, labah-labah rumah akan memangsa spesies lebih kecil, namun kekurangan cahaya di dalam gua dipercayai menjejaskan penglihatan mereka sebaliknya, koloni tersebut menjadikan serangga kecil seperti midge tidak menggigit sebagai sumber makanan utama.
Analisis lanjut mendapati, labah-labah yang hidup di dalam gua itu mempunyai perbezaan genetik berbanding spesies sama di luar, menunjukkan mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran ekstrem tersebut.










