ISTANBUL: Ketegangan di sempadan Afghanistan-Pakistan kembali meningkat apabila kedua-dua negara saling menuduh satu sama lain berhubung insiden tembakan rentas sempadan, ketika rundingan damai disambung di Istanbul, Turkiye.
Rundingan pada Khamis bertujuan memuktamadkan perjanjian damai yang dicapai di Qatar pada 19 Oktober lalu, selepas seminggu pertempuran berdarah yang mengorbankan puluhan nyawa dan mencederakan ratusan, termasuk anggota tentera dan orang awam.
Jurucakap kerajaan Taliban, Zabihullah Mujahid, mendakwa pasukan keselamatan Pakistan melepaskan tembakan ke arah bandar Spin Boldak di wilayah Kandahar, menyebabkan kegusaran penduduk tempatan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan Taliban tidak membalas serangan bagi menghormati proses rundingan dan mengelak korban awam.
Pakistan menafikan dakwaan tersebut dan menyalahkan Afghanistan sebagai punca insiden. Kementerian Penerangan dan Penyiaran Pakistan memaklumkan tembakan dimulakan dari pihak Afghanistan, manakala pasukan mereka hanya bertindak balas secara terkawal.
Pegawai tempatan di Kandahar berkata insiden berlaku dalam tempoh 10 hingga 15 minit sebelum keadaan kembali tenang.
Insiden terbaru ini mencerminkan betapa rapuhnya gencatan senjata yang sedang dirundingkan, dengan isu keselamatan menjadi punca utama pertikaian.
Islamabad menuduh Kabul melindungi kumpulan militan seperti Tehrik-i-Taliban Pakistan (TTP), yang didakwa melancarkan serangan di wilayah Pakistan. Taliban menafikan tuduhan itu.
Rundingan terdahulu di Istanbul minggu lalu menemui jalan buntu apabila kedua-dua pihak saling menuduh enggan bekerjasama dalam memuktamadkan butiran gencatan senjata.
Turkiye, sebagai tuan rumah, memaklumkan bahawa satu mekanisme pemantauan dan pengesahan telah dipersetujui untuk memastikan pematuhan dan mengambil tindakan terhadap sebarang pelanggaran.
Sejak pertempuran bermula pada 9 Oktober, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan sekurang-kurangnya 50 orang awam terbunuh dan 447 cedera di pihak Afghanistan.
Tentera Pakistan pula mengesahkan 23 anggotanya terkorban dan 29 cedera, tanpa menyatakan jumlah korban awam.
Walaupun gencatan senjata telah dipersetujui, semua pintu sempadan utama antara kedua-dua negara masih ditutup kepada perdagangan dan pergerakan awam sejak 12 Oktober, kecuali dua laluan yang dibuka semula secara terhad bagi membolehkan pelarian Afghanistan pulang ke tanah air.










