Hukum mereka berdasarkan jenayah, bukan umur

Hukum mereka berdasarkan jenayah, bukan umur

PINDAAN undang-undang perlu dibuat bukan sekadar untuk menghukum tetapi bagi memastikan proses pemulihan, pendidikan dan intervensi dijalankan dengan lebih berkesan agar kesejahteraan mangsa dan masa hadapan pelaku sama-sama terpelihara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“BILA mendirikan sebuah negara sudah tentu orang akan membuat undang-undang. Bertambah meluas dan berkembang negara itu bertambah banyak undang-undangnya. Maka oleh kerana anutan pertama dan utama adalah iman dan amal soleh, sudah tentu undang-undang yang akan dibuat tidak mungkin daripada penolakan kepercayaan kepada Allah dan tidak mungkin daripada niat hendak berbuat jahat.” Buya Hamka.

Pada Jun lalu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat menyeru agar Seksyen 113 Akta Keterangan 1950 [Akta 56] dipinda. Secara ringkasnya peruntukan tersebut memaktubkan anggapan di bawah undang-undang yang tidak boleh disangkal bahawa kanak-kanak lelaki di bawah umur 13 tahun tidak berupaya melakukan jenayah rogol.

Seruan ini turut berkait dengan peruntukan di bawah Seksyen 82 dan 83 Kanun Keseksaan [Akta 574] yang menyatakan seorang kanak-kanak di bawah 10 tahun tidak boleh dipertanggungjawabkan ke atas sebarang kesalahan jenayah manakala bagi seorang kanak-kanak yang sudah lebih 10 tahun namun kurang 12 tahun, hanya boleh dipertanggungjawabkan jika didapati sempurna akal serta dapat mempertimbangkan keadaan dan akibat perbuatannya.

Peruntukan-peruntukan ini disebut juga sebagai doktrin ‘doli incapax’ yang secara harfiah bermaksud ‘tidak berupaya’ untuk melakukan jenayah. Doktrin ini wujud di seluruh dunia, malah beberapa negara menggubal undang-undang doktrin doli incapax dengan bersandarkan prinsip baligh dalam perundangan syariah.

Namun, terdapat juga sebilangan kecil negara yang tidak menggunakan doktrin doli incapax. Sebagai contoh di Mauritiaus, pertuduhan bagi kesalahan jenayah boleh dihadapkan ke atas seorang kanak-kanak namun hukuman pemenjaraan hanya boleh dikenakan selepas mahkamah menilai sama ada pesalah memahami tindakannya.

Sedangkan di Brunei, yang mempunyai Kanun Keseksaan serupa dengan Malaysia, umur minima tanggungjawab jenayah adalah tujuh tahun.

Di Malaysia, wacana pindaan terhadap peruntukan berkaitan doktrin doli incapax sudahpun dimulakan sejak awal 2000-an lagi.

Dengan lambakan kes keganasan yang melibatkan pelaku kanak-kanak, khususnya jenayah seksual, maka sudah tiba masa desakan untuk meminda Seksyen 113 Akta 56 diperhalusi.

Misalnya, pada Januari 2017, negara digemparkan dengan berita seorang budak lelaki berumur 10 tahun diburu polis berhubung kes rogol berkumpulan di Labuan.

Kemudian pada Julai tahun sama, timbul dakwaan seorang budak lelaki berumur tujuh tahun merogol seorang kanak-kanak tadika di Melaka.

Pada September pula, dua orang budak lelaki masing-masing berumur 10 dan 11 tahun disiasat atas dakwaan merogol seorang kanak-kanak perempuan sembilan tahun di Sarawak.

Pada Julai 2019, seorang budak lelaki berusia 12 tahun ditahan polis di Melaka selepas dipercayai merogol kanak-kanak perempuan berusia empat tahun.

Selanjutnya dalam Ogos 2019, seorang murid tahun lima ditahan polis di Sabah kerana didakwa merogol kakak sepupunya yang berusia 12 tahun.

Pada September 2024, tiga kanak-kanak yang berusia dalam lingkungan 12 hingga 14 tahun ditahan polis selepas disyaki merogol seorang kanak-kanak perempuan 12 tahun secara berkumpulan di Sabah.

Pada April tahun ini, Polis Kelantan mendedahkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun menghamilkan sepupunya yang berusia 15 tahun.

Dalam kes-kes ini, ada insiden berlaku melibatkan keganasan dan bertentangan dengan kemahuan mangsa.

Namun tidak dinafikan kebanyakan insiden berlaku atas faktor suka sama suka. Malah, polis turut mendedahkan pengaruh daripada material lucah dan pornografi yang mudah dicapai di internet menjadi punca kejadian berlaku.

UNDANG-UNDANG LAPUK

Peningkatan kes-kes sebegini menunjukkan perubahan dinamika sosial dalam kalangan kanak-kanak. Untuk itu, undang-undang lapuk sudah tidak boleh diterima tanpa diharmonikan semula dengan situasi semasa.

Cabaran terbesar termasuklah penggunaan peranti dari alam bayi dan pendedahan kanak-kanak kepada pornografi yang merangsang neuroendokrin dan fisiologi membentuk pemahaman reproduksi yang tersasar dari landasan.

Meskipun tugas memperhalusi keperluan mengekalkan doktrin doli incapax pada masa kini merupakan kerja yang sukar bagai menyukat belut hidup, malangnya kini sudah wujud keperluan mendesak untuk melihat semula kerangka perundangan sedia ada.

Meletakkan tanggungjawab jenayah bagi seorang kanak-kanak dalam kesalahan seksual bukanlah semata-mata untuk menghukum pesalah bagi mendapatkan keadilan kepada mangsa. Sebaliknya, isu liabiliti dalam kes sebegini juga melibatkan ruang dan keupayaan memulihkan dan proses rehabilisasi pelaku.

Sejak mutakhir ini ramai yang menyarankan agar tindakan disiplin yang lebih keras dikenakan kepada kanak-kanak dan remaja yang bermasalah.

Rata-rata wacana memfokuskan elemen balasan dan penghindaran sebagai hikmah hukuman yang lebih keras. Sedangkan hukuman yang lebih serius juga merupakan peluang besar untuk memulihkan pelaku.

Elemen pemulihan perlu dititikberatkan mengambil kira jumlah kanak-kanak yang terdedah kepada elemen lucah di media sosial sehingga ada yang ketagihan sejak usia yang sangat muda.

Tanpa intervensi yang mencukupi, kelakuan sebegini mampu memberikan kesan yang jauh lebih memudaratkan. Proses intervensi ini harus dimulakan dengan meminda peruntukan doktrin incapax yang terpakai dalam negara.-UTUSAN

 

PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×