APABILA matahari terbit di ufuk timur, bayangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang megah memantul di tasik tenang Taman Tasik Shah Alam cerminan lambang keharmonian antara pembangunan dan alam. Di sebalik panorama itu tersimpan kisah 25 tahun perjalanan sebuah bandar raya yang tidak sekadar membangun tetapi membina jiwa, identiti dan masa hadapan.
Tahun ini, Shah Alam menyambut Jubli Peraknya sebagai bandar raya pintar dan lestari. Sejak diisytiharkan pada 10 Oktober 2000, ibu negeri Selangor ini bukan sahaja menjadi pusat pentadbiran, malah contoh bandar terancang yang memadukan kemajuan ekonomi dengan kelestarian alam. Dari kawasan ladang getah, Shah Alam kini berkembang menjadi bandar beridentiti tersendiri dengan wadah berilmu, berbudaya dan berteknologi.
Dikenali dengan konsep pembangunan ‘bandar dalam taman’, Shah Alam dibangunkan atas falsafah keseimbangan. Institusi pendidikan seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjadi tunjang kemajuan ilmu, manakala kemudahan seperti Taman Botani Negara dan Tasik Shah Alam mengekalkan roh kehijauan dalam denyut kemodenan. Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pula melangkah ke hadapan dengan pelbagai inisiatif hijau, daripada pengurusan bangunan mampan hingga kempen bebas plastik.
Kini, aspirasi Shah Alam lebih besar untuk menjadi bandar pintar, berdaya huni dan berdaya tahan menjelang 2035. Transformasi digital, sistem bandar pintar serta penglibatan komuniti hijau menandakan lonjakan ke arah masa hadapan bandar raya rendah karbon.
Shah Alam bukan sekadar ibu negeri termaju tetapi mercu tanda kepada impian Malaysia untuk membina bandar raya yang cemerlang dari segi ekonomi, sosial dan ekologi.
Selepas 25 tahun, Shah Alam terus membuktikan kemajuan sebenar bukan hanya diukur pada bangunan tinggi serta jalan lebar tetapi pada keupayaan sebuah bandar membina kesejahteraan rakyat dan menjaga kelestarian bumi yang didiami bersama.-UTUSAN
FAIRUS MUHAMAD DARUS
Pensyarah Kanan
Fakulti Sains Gunaan
Universiti Teknologi Mara (UiTM)










