PETALING JAYA: Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd. (CGC) melancarkan Kad Kredit Perniagaan Visa Platinum-i, kad perniagaan patuh syariah pertama menawarkan pelbagai keistimewaan bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengurus perbelanjaan serta aliran tunai dengan lebih efisien.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Khairul Kamarudin berkata, kad tersebut dibangunkan melalui kerjasama Bank Muamalat dengan CGC dan disokong oleh Visa, bagi menawarkan penyelesaian kewangan yang fleksibel, selamat serta berpaksikan prinsip kewangan Islam.
“Kad kredit ini bukan sekadar alat pembayaran, sebaliknya satu inovasi bermatlamat yang direka khas untuk memperkasa usahawan tempatan agar terus berkembang dan bersaing di pasaran.
“Kad ini berfungsi sebagai pemangkin strategik untuk membantu PMKS mengurus modal kerja, menambah baik aliran tunai serta merebut peluang perniagaan di dalam dan luar negara,” katanya ketika pelancaran kad kredit itu di sini hari ini.
Menurut beliau, Kad Visa Platinum di bawah CGC dan merupakan satu inisiatif baharu bagi memberikan kemudahan kepada perusahaan mikro dan PKS untuk mendapatkan modal serta mengurus kewangan dengan lebih baik.
“Antara kelebihan utama kad ini ialah tiada yuran tahunan untuk tahun pertama, di samping pulangan tunai dua peratus bagi semua perbelanjaan dengan had sehingga RM300 sebulan.
“Selain itu, pengguna turut menikmati tempoh tanpa keuntungan sehingga 59 hari bagi baki yang dijelaskan tepat pada masanya,” katanya.
Tambahnya, pelanggan yang menggunakan kad ini untuk urusan syarikat juga akan menerima rebat eksklusif daripada peniaga yang bekerjasama dengan Visa, menjadikannya lebih bernilai bagi pengguna korporat.
Katanya, sasaran utama bagi tahun pertama pelancaran ini ialah pelanggan dalam kalangan perusahaan mikro dan PKS, bagi tempoh tahun ini hingga tahun hadapan.
“Dengan adanya kad ini, pemilik perniagaan boleh memantau serta menjejak perbelanjaan mereka dengan lebih mudah, selain memanfaatkan pelan bayaran fleksibel yang membantu mereka mengurus aliran tunai secara lebih berkesan,” katanya.
Dari segi kelayakan, antara kriteria yang dipersetujui bersama CGC ialah perniagaan perlu beroperasi sekurang-kurangnya dua tahun, dan maklumat lanjut mengenai syarat tersebut akan dijelaskan di laman web rasmi Bank Muamalat.
Setakat ini, Bank Muamalat mempunyai hampir 4,000 pelanggan asas dan dengan pelancaran kad ini, bank bukan sahaja berkhidmat kepada pelanggan sedia ada tetapi juga menyasarkan peningkatan pelanggan sebanyak 20 peratus, dengan hasrat menggandakan angka itu dalam masa terdekat.
Tahun lalu, Bank Muamalat dan CGC turut memperkenalkan Skim Jaminan Portfolio Halal-i bernilai RM70 juta bagi memperluas akses pembiayaan kepada usahawan dalam sektor halal. – UTUSAN










