Susah senang orang Malaysia di Qatar

Susah senang orang Malaysia di Qatar

SEBAHAGIAN kecil diaspora Malaysia di Qatar sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-67.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DIASPORA Malaysia di Qatar kini berjumlah sekitar 6,200 orang dan terdiri daripada gabungan profesional berkelulusan tinggi serta pekerja mahir dalam pelbagai sektor.

Ramai daripada mereka bekerja dalam bidang minyak dan gas, penerbangan, pembinaan, telekomunikasi, penyiaran, pendidikan dan penjagaan kesihatan, dengan sebilangan besar mereka berkhidmat sebagai jurutera, juruterbang, pakar teknikal, doktor perubatan serta pensyarah universiti.

Di sektor minyak dan gas, ramai rakyat Malaysia menempatkan kerjaya mereka di syarikat multinasional seperti QatarEnergy (sebelum ini dikenali Qatar Petroleum), QatarEnergy LNG (dahulunya QatarGas), North Oil Company serta penyedia perkhidmatan kesihatan dan kejuruteraan seperti Hamad Medical Corporation, Sidra Medicine, McDermott, dan Shell Qatar.

Dalam bidang telekomunikasi dan penyiaran, syarikat seperti Ooredoo dan Al-Jazeera Media Network menjadi pilihan profesional Malaysia yang memiliki kemahiran kejuruteraan teknikal dan pengurusan dalam digital dan 5G.

Bagi sektor penerbangan, syarikat Qatar Airways merupakan organisasi utama tumpuan ramai jurutera, teknikal dan juruterbang Malaysia untuk berkhidmat. Ashgal Public Work Authority, Yayasan Qatar dan pelbagai lagi firma pembinaan tempatan menjadi platform kerjaya penting bagi profesional

Malaysia dalam bidang kejuruteraan, saintis dan pengurusan projek yang terlibat dalam sektor pembinaan dan infrastruktur serta pembangunan rakyat.

Manakala diaspora Malaysia yang terlibat dalam bidang pendidikan iaitu pensyarah dan pegawai penyelidik kebiasaannya akan berkhidmat dengan Universiti Qatar serta Universiti Hamad Bin Khalifa. Terdapat ramai diaspora Malaysia yang telah menetap di Qatar melebihi 15 tahun dan ada yang sehingga mencecah 40 tahun.

Rata-rata mereka akan menetap di Qatar selama lima hingga ke tujuh tahun mengikut kontrak kerja atau kesesuaian keluarga. Sebelum berhijrah ke Qatar, sebilangan besar mereka merupakan bekas pekerja di beberapa syarikat ternama Malaysia seperti Petronas, Malaysia Airlines (MAS), Bernama dan UEM.

Faktor utama yang menarik minat diaspora Malaysia berhijrah ke Qatar adalah kerana purata gaji bulanan lebih tinggi yang mampu diperoleh iaitu bermula sekitar QAR12,000 hingga QAR15,000 (kira-kira RM13,000 hingga RM17,000) untuk pekerja berkemahiran tinggi biasa, dan dengan gaji asas bagi jurutera dan pensyarah universiti bermula dari QAR20,000 serta boleh mencecah lebih tinggi, bergantung kepada pengalaman dan tahap kritikal sektor pekerjaan tersebut.

Keistimewaan utama yang dapat dilihat apabila bekerja di Qatar ialah tiada cukai pendapatan dikenakan, menjadikan gaji bersih diperoleh lebih tinggi berbanding di Malaysia. Banyak syarikat menawarkan pakej ekspatriat yang merangkumi faedah seperti perumahan, pengangkutan, insurans kesihatan, kos pendidikan anak-anak, elaun sara hidup serta tiket penerbangan secara tahunan.

Dari segi gaya hidup, ramai ekspatriat Malaysia di Qatar menikmati kualiti hidup yang baik dengan akses kepada pelbagai kemudahan moden termasuklah pusat membeli-belah, restoran antarabangsa dan aktiviti rekreasi. Keseimbangan kerja-hidup juga diutamakan, dengan banyak syarikat memberikan cuti tahunan selama enam minggu serta waktu bekerja yang fleksibel.

Diaspora Malaysia di Qatar juga dapat menikmati keistimewaan unik berbanding warganegara yang lain.

Antaranya, diaspora Malaysia boleh menukar lesen memandu mereka kepada lesen memandu Qatar tanpa perlu menjalani ujian teori atau praktikal di jalan raya.

Ini berlandaskan kepada perjanjian bilateral antara Malaysia dan Qatar yang membolehkan proses penukaran lesen memandu dilakukan tanpa perlu menjalani ujian memandu tambahan melibatkan warga kedua-dua buah negara secara timbal balas (reciprocal).

Walaupun kehidupan di Qatar menawarkan banyak peluang dan kelebihan, diaspora Malaysia turut menghadapi beberapa cabaran.

Antaranya ialah cuaca yang ekstrem, dengan suhu musim panas yang boleh mencecah sehingga 50 darjah Celsius, sekali gus menyukarkan aktiviti luar dilakukan dan menuntut penyesuaian gaya hidup kos yang tinggi termasuk penggunaan pendingin hawa sepanjang hari dan pemakaian pakaian yang sesuai mengikut suhu persekitaran.

Dari segi bahasa, walaupun Bahasa Arab adalah bahasa rasmi, ramai diaspora Malaysia perlu menguasai Bahasa Inggeris untuk bekerja dan berinteraksi dalam persekitaran profesional, manakala sesetengah situasi sosial memerlukan pemahaman budaya tempatan.

Perbezaan budaya dan norma sosial juga menuntut diaspora Malaysia untuk berhati-hati, contohnya dalam etika berpakaian dan menghormati peraturan tempatan yang amat ketat berhubung isu alkohol, hiburan awam dan keselamatan.

Namun, Qatar sangat mengambil serius dalam pematuhan had laju (80km/jam di kebanyakan kawasan), pemakaian tali pinggang keledar, larangan penggunaan telefon bimbit ketika memandu, larangan memotong garisan berkembar serta melanggar lampu isyarat, semua ini diawasi dengan sistem kamera pengawasan trafik yang canggih yang dipasang pada jarak yang berdekatan di seluruh negara.

Pengambilan gambar atau rakaman video secara umum tanpa kebenaran juga boleh menimbulkan isu keselamatan dan privasi yang sangat serius, kerana undang-undang Qatar menekankan perlindungan individu dan kawasan sensitif. Pelanggaran peraturan ini, walaupun kecil, boleh membawa kepada denda besar sehingga berjumlah QAR100,000, atau penahanan, atau jika terdapat kes yang lebih berat, ekspatriat boleh diusir dari Qatar termasuk diaspora Malaysia.

Cabaran ini menuntut diaspora Malaysia supaya sentiasa berhati-hati, memahami peraturan tempatan dengan teliti dan menyesuaikan diri dengan norma sosial dan undang-undang Qatar dengan baik agar kehidupan mereka di sini kekal selamat dan terjamin.

Secara keseluruhannya, Qatar menawarkan pelbagai kelebihan yang menarik kepada golongan profesional dan kemahiran tinggi untuk bekerja di negara mereka, termasuklah tawaran gaji tinggi tanpa cukai pendapatan, faedah pekerjaan yang komprehensif serta kualiti hidup yang tinggi.

Keistimewaan ini menyebabkan ramai profesional Malaysia memilih untuk berhijrah ke Qatar, menyumbang kepada fenomena aliran keluar tenaga pakar (brain drain).

Bagi diaspora Malaysia di Qatar, mereka merasakan bahawa peluang di tanah air tidak setimpal dengan kemahiran, kelayakan dan pengalaman yang dimiliki, menjadikan proses repatriasi sebagai satu cabaran.

Bagi mengelakkan brain drain yang lebih kritikal di masa hadapan, kerajaan Malaysia dinilai sesuai mempertimbang untuk menyediakan insentif kerjaya yang lebih kompetitif, peluang pembangunan kerjaya yang jelas serta gaji dan faedah yang setanding dengan pasaran kerja antarabangsa.

Usaha untuk menyediakan persekitaran kerja yang kondusif, fleksibiliti kerja dan sokongan kepada profesional muda akan meningkatkan daya tarikan kembali mereka ke tanah air.

Dengan adanya pendekatan strategik, Malaysia dapat mengekalkan bakat profesional yang berkemahiran tinggi dan membolehkan diaspora Malaysia yang berpengalaman di Qatar merasa yakin untuk kembali dan menyumbang kepada pembangunan negara. – UTUSAN

SURAYA HAMIMI MASTOR ialah Pensyarah Kanan Pengurusan Sumber Manusia Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Bandaraya Melaka yang sedang mengambil CTG ke Qatar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×