Sudah terlewatkah reformasi institusi pendidikan?

Sudah terlewatkah reformasi institusi pendidikan?

PENDIDIKAN bukan agenda politik tetapi pelaburan jangka panjang dalam pembentukan sahsiah dan kemanusiaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RENTETAN tragedi melibatkan kes buli, jenayah dan masalah disiplin pelajar yang semakin membimbangkan menimbulkan persoalan besar terhadap tahap keselamatan serta keberkesanan sistem pendidikan negara.

Tindakan dan reaksi Kementerian Pendidikan (KPM) terhadap isu-isu ini dilihat masih longgar dan tidak menyeluruh, sekali gus mengundang kritikan daripada pelbagai pihak, termasuk ahli akademik dan masyarakat umum yang semakin hilang keyakinan terhadap kemampuan kementerian menangani krisis disiplin serta keselamatan pelajar.

Pendidikan seharusnya tidak dilihat sebagai kitaran politik atau agenda pilihan raya semata-mata, sebaliknya merupakan pelaburan jangka panjang dalam pembentukan sahsiah dan kemanusiaan.

Kelemahan dasar dan pelaksanaan bukan berpunca daripada sistem itu sendiri tetapi daripada kegagalan kepimpinan memahami keperluan untuk mewujudkan kestabilan dan kesinambungan dalam perubahan sistem pendidikan seiring dengan peredaran zaman.

Seorang menteri pendidikan perlu berperanan bukan sahaja menggubal dasar baharu tetapi juga memastikan nilai kemahiran asas, pembentukan akhlak dan pembangunan karakter selari dengan aspirasi negara terus menjadi keutamaan.

Yang dikesalkan, setiap kali insiden berat berlaku di sekolah, kenyataan rasmi yang dikeluarkan sering bersifat umum tanpa pelan tindakan menyeluruh atau reformasi dasar yang jelas. Keadaan ini menjejaskan kepercayaan awam terhadap keupayaan kepimpinan kementerian untuk melindungi dan membimbing generasi muda.

Isu ini tidak wajar dianggap sebagai insiden terpencil, sebaliknya mencerminkan perlunya reformasi mendalam terhadap sistem pendidikan nasional agar kembali kepada tujuan asalnya iaitu membina insan berilmu, berakhlak dan berdaya saing.

Justeru, langkah mereformasi semula institusi pendidikan kini dianggap agak terlewat, sedangkan masyarakat semakin mendesak agar perubahan sebenar dilaksanakan demi masa hadapan generasi akan datang. – UTUSAN

PEMERHATI BEBAS POLITIK
Pulau Pinang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×