DI sempadan daerah Sik dan Kuala Muda, Kedah tersimpan sebuah perkampungan yang indah dan penuh warna-warni, Kampung Berona Kanan.
Kampung berkenaan terletak di tebing Sungai Muda yang mengalir tenang. Kampung ini bukan sahaja memukau dengan keindahan alam semula jadinya, malah menyimpan kisah unik tentang asal-usul namanya.
Menurut cerita lisan, suatu ketika dahulu wujud seekor ikan besar di sungai ini yang digelar berona. Setiap kali disinari cahaya matahari, sisiknya berkilau memantulkan warna pelangi yang menakjubkan. Dari situlah nama Berona diabadikan dan apabila sungai itu membelah kawasan penempatan, terbentuklah dua kampung iaitu Kampung Berona Kanan dan Kampung Berona Kiri.
Warisan ini terus disemarakkan dengan penubuhan Persatuan Komuniti Kampung Berona pada 2020 dan didaftarkan secara rasmi pada 2024. Dianggotai 25 ahli jawatankuasa, persatuan ini giat menggerakkan pelbagai aktiviti sosial, keagamaan, kebajikan dan pelancongan di bawah slogan mesra ‘Mai Oi Cek Mai Cek’.
Antara kejayaan terbesar ialah pembinaan Dataran Rekreasi Kampung Berona pada 2023.
Kini, kampung ini berkembang melalui pakej pelancongan berasaskan komuniti yang semakin mendapat sambutan. Pelancong boleh menikmati aktiviti hari keluarga, berkayak di Sungai Muda, berbeku, lawatan inap desa, pameran kraftangan buluh dan tempurung, serta demonstrasi masakan tradisi seperti gulai rias pisang.
Pengalaman unik lain ialah melihat ikan kaloi muncul di permukaan sungai berhampiran titi gantung, satu tarikan yang jarang ditemui di tempat lain.
Persatuan Komuniti Kampung Berona kini bekerjasama dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam projek Pemandu Pelancong Setempat, di bawah geran kajian sosial. Melalui program ini, penduduk dilatih menjadi pemandu pelancong desa yang mahir tentang sejarah dan budaya setempat, sekali gus membuka peluang ekonomi baharu bagi komuniti.
Kampung Berona Kanan kini melangkah sebagai model komuniti desa yang bukan sahaja melestarikan warisan sejarah tetapi turut menghidupkan sektor pelancongan di negeri Kedah. – UTUSAN
DR. SALMAH OMAR & SITI ROKIAH IBRAHIM
Universiti Utara Malaysia (UUM)










