Ekonomi bukan sekadar angka pertumbuhan

Ekonomi bukan sekadar angka pertumbuhan

Ekonomi manusiawi berpaksi kepada nilai, bukan keuntungan semata. Ia menekankan pengagihan adil kekayaan dan keseimbangan sosial, seiring dengan semangat ekonomi Islam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kerajaan Perpaduan di bawah gagasan Malaysia Madani memperlihatkan rancangan besar menuju negara yang lebih makmur dan manusiawi. Setiap kerajaan hadir dengan slogan dan janji, namun yang membezakan ialah sejauh mana prinsip dan nilai diterjemahkan dalam tindakan.

Malaysia Madani berikhtiar menjadikan dasar dan pelaksanaan negara lebih ‘manusiawi’. Ia selari dengan gagasan lama Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak zaman aktivisme belia iaitu ekonomi berteraskan rakyat, ihsan dan keadilan sosial.

Baginya, kekayaan bukan tujuan tetapi alat untuk meratakan kesejahteraan dan mencapai keseimbangan rohani serta jasmani.

Sejak 1970-an, Anwar membawa budaya tandingan di kampus, memperkenal wacana damai, dialog dan keinsanan, jauh daripada ekstremisme dan retorik kosong. Kini, ketika beliau berada di puncak kuasa, idealisme itu diterjemah dalam bentuk dasar dan belanjawan.

Ekonomi manusiawi berpaksi nilai, bukan keuntungan semata. Ia menekankan pengagihan adil kekayaan dan keseimbangan sosial, seiring dengan semangat ekonomi Islam. Pendekatan ini menolak ketamakan pasaran bebas yang menindas dan menuntut kekayaan dikongsi untuk memakmurkan masyarakat.

Dalam konteks itu, Belanjawan 2026 menunjukkan beberapa langkah konkrit. Pertama, kerajaan memperkukuh bantuan sosioekonomi bagi melindungi golongan rentan. Hasil rampasan dan penalti RM15.5 bilion daripada kes rasuah kini dipulangkan kepada rakyat yang merupakan kemenangan moral.

Langkah penyasaran subsidi turut menjimatkan puluhan bilion ringgit, pengapungan harga ayam dan telur, penyusunan semula tarif elektrik, subsidi tenaga dan diesel serta pengenalan Budi Madani RON95 (BUDI95). Semua ini memastikan bantuan sampai kepada kelompok yang benar-benar memerlukan.

Belanjawan ini juga memberi tumpuan besar kepada Sabah dan Sarawak, dengan peruntukan pembangunan tertinggi dalam sejarah sebanyak RM6.9 bilion untuk Sabah dan RM6 bilion Sarawak bagi memperlihatkan semangat perataan kekayaan dan kesaksamaan wilayah.

Kerajaan juga memperkenalkan pendidikan percuma kepada 5,800 pelajar daripada keluarga miskin yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA), menerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Langkah ini kecil pada skala, tetapi besar maknanya terhadap agenda membasmi kemiskinan melalui pendidikan.

Dua hari sebelum pembentangan belanjawan, Dewan Rakyat turut meluluskan pindaan Akta Sewa Beli 2025, memansuhkan Peraturan 78 yang menindas pengguna. Kini, kadar faedah dikira berdasarkan baki sebenar. Ia langkah kecil tetapi berprinsip yang memihak kepada rakyat.

Kesemua ini mencerminkan kerajaan benar-benar berusaha memanusiakan ekonomi dengan memberi keutamaan kepada kesejahteraan, bukan sekadar angka pertumbuhan. Namun, perjalanan ke arah ekonomi manusiawi ini tidak mudah. Ia memerlukan kesepakatan seluruh warga daripada pemimpin hingga rakyat kerana sabotaj ekonomi dan kepentingan elit masih menjadi cabaran utama.

Sebagaimana ditegaskan Perdana Menteri dalam Persidangan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam, masa hadapan ekonomi manusiawi memerlukan kolaborasi antara ahli akademik, institusi kewangan dan badan pengawal selia, dengan semangat ummah dan nilai etika.

Belanjawan 2026 bukan sekadar helaian angka fiskal. Ia manifestasi idealisme lama yang kini cuba diterjemah dalam realiti menuju sistem ekonomi berasaskan ihsan, keadilan dan kemanusiaan. Jalan ke sana masih panjang tetapi langkah pertama sudah bermula. – UTUSAN

MUHAMAD HANAPI JAMALUDIN
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×