KUALA LUMPUR: Subsidi tiket penerbangan bagi laluan dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan sempena musim perayaan akan diteruskan bagi Krismas bulan hadapan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, bagi tahun 2025, jumlah perbelanjaan yang ditanggung kerajaan mencecah RM19.5 juta merangkumi 39,744 tiket.
Katanya, penumpang hanya perlu membayar harga maksimum RM499, sementara tiket di bawah harga siling dijual pada harga pasaran.
“Tanpa subsidi, harga tiket penerbangan sehala bagi laluan Kuala Lumpur ke Tawau, Sandakan dan Kota Kinabalu pada musim perayaan boleh mencecah RM1,000.
“Dengan subsidi ini, harga maksimum yang perlu dibayar oleh penumpang adalah RM499. Kos melebihi harga siling adalah ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan, tidak termasuk cukai dan fi.
“Subsidi untuk tahun ini telah dilaksanakan untuk Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Hari Gawai, Pesta Kaamatan dan akan diteruskan untuk Krismas pada bulan depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) berkaitan kos tiket penerbangan ke Malaysia Timur pada musim perayaan di Dewan Rakyat, hari ini.
Tambahnya, kerajaan juga akan berbincang dengan syarikat penerbangan terhadap cadangan meletakkan nilai subsidi yang diberikan dalam tiket penerbangan.
“Kami ambil maklum bahawa sesetengah penumpang mungkin tidak sedar jumlah subsidi besar yang telah diperuntukan apabila membeli tiket penerbangan pada musim perayaan.
“Kementerian Pengangkutan mengalu-alukan cadangan dan akan berbincang dengan pihak
syarikat penerbangan bagi mencari mekanisme terbaik untuk memaklumkan penumpang berkenaan jumlah subsidi yang telah memanfaatkan mereka,” katanya. – UTUSAN










