ISU hubungan seksual bawah umur, khususnya yang melibatkan persetujuan bersama antara remaja lelaki dan perempuan menjadi topik perdebatan hangat dalam sistem perundangan Malaysia.
Ekoran itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan mencadangkan agar pelaku wanita dalam kes hubungan seksual bawah umur secara suka sama suka turut dikenakan tindakan undang-undang menimbulkan persoalan besar terhadap aspek keadilan dan kesamarataan dalam sistem perundangan negara.
Ketika ini, undang-undang sedia ada di bawah Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan memperuntukkan seorang lelaki yang melakukan persetubuhan dengan seorang perempuan berumur di bawah 16 tahun sama ada dengan kerelaan atau sebaliknya dianggap melakukan kesalahan rogol statutori.
Akibatnya, lelaki secara automatik menjadi tertuduh, manakala perempuan yang terbabit sering dilihat sebagai mangsa, walaupun secara realitinya kedua-duanya mungkin terlibat atas dasar suka sama suka.
Perkara ini menjadi lebih serius apabila Ketua Polis Kelantan sebelum ini mendedahkan lebih 90 peratus kes rogol bawah umur sebenarnya melibatkan hubungan atas dasar suka sama suka, bukan paksaan.
Lebih membimbangkan, fenomena sama bukan hanya berlaku di Kelantan, sebaliknya turut dilaporkan di hampir semua negeri. Namun, sistem perundangan sedia ada hanya memfokuskan kepada hukuman terhadap lelaki yang melakukan hubungan seksual dengan kanak-kanak perempuan.
Oleh itu, cadangan supaya perempuan yang terbabit dalam perbuatan seks bawah umur secara suka sama suka turut dikenakan tindakan undang-undang dan tidak hanya dianggap sebagai mangsa wajar diteliti semula.
Menurut Pengamal Undang-undang, Mohammed Haniff Khatri Abdulla, keadaan ini jelas menimbulkan persoalan mengenai diskriminasi jantina dalam sistem keadilan negara.
“Cadangan Ketua Polis Kelantan wajar dipertimbangkan kerana undang-undang sedia ada jelas pincang. Ia hanya mengiktiraf remaja perempuan bawah umur sebagai mangsa, sedangkan remaja lelaki pula dipertanggungjawabkan seorang diri sebagai pesalah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Haniff menjelaskan undang-undang rogol bawah umur yang hanya menghukum lelaki boleh dianggap bersifat diskriminasi jantina dan perlu dikaji semula agar keadilan dapat ditegakkan untuk semua pihak.
“Kalau kedua-duanya bawah 16 tahun dan sama-sama rela, mengapa hanya lelaki didakwa? Bukankah itu tidak adil? Inilah yang menimbulkan persoalan keadilan dalam sistem kita,” katanya.
Beliau turut menjelaskan dalam Kanun Keseksaan sendiri wujud peruntukan mengenai had umur kebertanggungjawaban jenayah.
Sebagai contoh katanya, Seksyen 82 Kanun Keseksaan memperuntukkan kanak-kanak di bawah umur 10 tahun tidak boleh dipertanggungjawabkan atas sebarang kesalahan jenayah.
“Kalau murid sekolah rendah berumur sembilan tahun berkelakuan tidak senonoh dengan rakan sebaya, sudah tentu undang-undang tidak boleh menghukumnya. Maka, pendekatan sama wajar dipertimbangkan apabila melibatkan remaja bawah umur yang masih tidak matang,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Fatihah Jamhari berkata, sudah tiba masanya kerajaan meneliti semula undang-undang sedia ada agar lebih adil dan seimbang, khususnya dalam kes hubungan bawah umur yang berlaku atas dasar suka sama suka.
“Jika pindaan undang-undang difikirkan wajar, ia boleh digubal sama ada dengan menghapuskan kesalahan ‘rogol bawah umur’ terhadap pasangan lelaki memandangkan takrifan rogol pada masa ini tidak membuka ruang bagi kesalahan sama dilakukan oleh wanita sekiranya hubungan itu berlaku atas dasar suka sama suka.
“Selain itu, boleh juga diperkenalkan kesalahan baharu terhadap kanak-kanak perempuan yang melakukan hubungan seksual sebelum umur 16 atau 18 tahun,” katanya.
Fatihah turut menjelaskan pada masa ini tiada takrifan jelas atau konteks undang-undang yang mengiktiraf hubungan bawah umur atas dasar suka sama suka dan keadaan ini menimbulkan ketidakseimbangan dalam keadilan gender.
“Disebabkan ketiadaan takrifan itu, memang wujud keadaan yang berat sebelah terhadap pasangan lelaki,” katanya.
Menurutnya lagi, banyak laporan penghakiman menunjukkan hubungan tersebut dipersetujui oleh remaja perempuan sendiri, malah dalam sesetengah kes, inisiatif memulakan hubungan datang daripada pihak perempuan.
Namun, kerana kerangka undang-undang sedia ada hanya menumpukan kepada hukuman terhadap lelaki, maka faktor suka sama suka tidak diambil kira ketika sabitan.
“Kadangkala, jika dapat hakim yang lebih matang dan berwibawa, faktor suka sama suka ini mungkin dipertimbangkan ketika menjatuhkan hukuman tetapi bukan untuk menentukan sama ada tertuduh bersalah atau tidak,” katanya.
Fatihah turut mendedahkan kes seperti ini sangat banyak dan mempunyai corak hampir sama di seluruh negara.
“Kes sebegini memang banyak. Kalau rajin meneliti laporan penghakiman, contohnya di Kelantan, kadang-kadang hakim hanya perlu menukar nama pelaku, nama mangsa, lokasi dan masa kejadian yang hampir sama. Berkenalan di media sosial, keluar bersama, belanja makan, kemudian diajak ke rumah sewa atau rumah keluarga sebelum berlaku hubungan.
“Dalam kebanyakan kes, hubungan itu dimulakan atau dipersetujui oleh remaja perempuan. Sebab itu, hakim biasanya hanya menjatuhkan hukuman denda atau pemenjaraan, kerana dirasakan tidak adil untuk menjatuhkan hukuman sebatan terhadap lelaki sedangkan yang beria-ia sebenarnya perempuan,” katanya.
KESAN LEBIH LUAS
Isu ini turut berkait rapat dengan nilai sosial serta tahap pendidikan remaja yang masih lemah dalam memahami hubungan sihat dan tanggungjawab seksual.
Fenomena hubungan bawah umur secara suka sama suka sering mencerminkan ketidakmatangan serta pengaruh media sosial yang kuat.
Justeru, pendidikan seks yang lebih menyeluruh perlu digerakkan bagi membentuk kesedaran dan tanggungjawab dalam kalangan remaja.
Kesimpulannya, semakan semula undang-undang berkaitan hubungan seksual bawah umur amat wajar bagi menjamin keadilan sejati dan kesamarataan gender.
Undang-undang yang adil harus mengambil kira realiti sosial semasa serta memberi perlindungan seimbang kepada semua pihak, tanpa mengira jantina, demi kesejahteraan generasi akan datang.-UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.










