Pastikan Belanjawan menyentuh denyut realiti

Pastikan Belanjawan menyentuh denyut realiti

KEJAYAAN kerajaan mengimbangi ekonomi, fiskal dan kesejahteraan rakyat bergantung pada pelaksanaan telus, komunikasi jelas serta bantuan yang berkesan di peringkat akar umbi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membentangkan Belanjawan 2026 dengan peruntukan rekod RM470 bilion, digelar ‘Belanjawan Rakyat’. Ia bertujuan memperkukuh ekonomi sambil membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup.

Namun, sebagaimana mana-mana belanjawan, kejayaan sebenar bergantung pada pelaksanaan yang cekap dan komunikasi yang berkesan.

Dari sudut fiskal, kerajaan mengekalkan komitmen mengurangkan defisit daripada 3.8 peratus pada 2025 kepada 3.5 peratus pada 2026. Usaha ini dianggap langkah positif ke arah kestabilan jangka panjang.

Selain itu, RM15.5 bilion hasil rampasan dan penalti oleh agensi penguatkuasa akan disalurkan untuk projek banjir dan Pan Borneo Sabah. Ini isyarat jelas ke arah disiplin fiskal dan keutamaan pembangunan asas.

Namun, di peringkat rakyat, tinjauan Milieu Insight terhadap 1,000 responden menunjukkan jurang persepsi dan harapan. Hanya 18 peratus percaya belanjawan mampu mengurangkan kos sara hidup secara ketara, manakala 51 peratus melihatnya hanya memberi sedikit kelegaan.

Lebih 44 peratus pula menilai inflasi sebagai cabaran utama. Situasi ini menunjukkan kerajaan perlu memperkukuh komunikasi dasar dan memastikan manfaat sampai kepada kelompok sasaran.

Pendekatan subsidi bersasar menjimatkan wang kerajaan sebanyal RM15.5 bilion setahun. Langkah yang difahami dari segi ekonomi kerana subsidi pukal sebelum ini turut dinikmati golongan tidak layak.

Melalui pelarasan harga ayam, telur, tarif elektrik serta subsidi diesel dan RON95, kerajaan menyalurkan bantuan secara terus kepada penerima sah menerusi Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Walaupun rasionalnya jelas, namun pelaksanaan peralihan ini mencabar. Rakyat kini membayar harga pasaran penuh, sedangkan bantuan tunai diterima secara berperingkat antara RM100 hingga RM200 sebulan. Bagi 9 juta penerima STR, bantuan ini amat diperlukan tetapi mungkin perlu ditingkatkan kadar atau dipercepatkan bayaran agar seiring dengan kenaikan kos hidup sebenar.

Bagaimanapun golongan M40 (pendapatan isi rumah antara RM4,850 hingga RM10,970) berdepan tekanan unik. Ini kerana mereka tidak layak menerima bantuan tetapi tetap terkesan oleh kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

Hanya 24 peratus peratus responden berpendapat mereka mendapat sokongan mencukupi. Kerajaan perlu menilai semula pendekatan terhadap kumpulan ini, mungkin melalui insentif cukai, kemudahan pinjaman pendidikan atau bantuan perumahan yang lebih fleksibel.

Sementara penurunan kadar kemiskinan tegar daripada 0.2 peratus kepada 0.09 peratus merupakan pencapaian yang wajar dihargai. Namun, masih ramai rakyat berada ‘sejurus di atas garis kemiskinan’ seperti pekerja gig dan keluarga berpendapatan rendah di bandar terus bergelut dengan perbelanjaan harian.

Peningkatan penggunaan bank makanan dan kadar hutang isi rumah menjadi petanda masalah ketaksamaan masih serius. Data rasmi perlu digabungkan dengan realiti lapangan agar bantuan benar-benar menepati keperluan.

Belanjawan ini turut menumpukan sektor masa hadapan seperti kecerdasan buatan (AI) (RM5.9 bilion untuk Pejabat AI Negara), Sovereign AI Cloud (RM2 bilion) dan ekosistem semikonduktor (RM550 juta). Langkah ini penting untuk menjadikan Malaysia pemain utama ekonomi serta mencipta pekerjaan berkemahiran tinggi.

Namun, persoalan timbul mengenai keseimbangan dan keutamaan. Ketika rakyat bergelut dengan kos sara hidup, pelaburan berbilion ringgit dalam teknologi mungkin kelihatan jauh dari manfaat langsung. Justeru, kerajaan perlu menjelaskan kesan jangka sederhana kepada rakyat dan mempercepatkan program latihan semula, kemahiran masa hadapan dan peralihan kerjaya agar manfaat dapat dirasai lebih awal.

Manakala pembaharuan tadbir urus melalui Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA), Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan, dan pindaan Akta Audit menunjukkan kesungguhan ke arah ketelusan. Inisiatif seperti Pasukan Petugas Khas Pembaharuan Agensi (STAR) yang menjimatkan RM1.1 bilion dan peningkatan 11 tangga dalam Indeks Daya Saing Global membuktikan hasil awal yang positif.

Namun, rakyat kini menuntut ketelusan lebih luas. Tinjauan menunjukkan 38 peratus menginginkan papan pemuka perbelanjaan masa nyata yang boleh diakses umum. Ia langkah yang mampu meningkatkan akauntabiliti dan kepercayaan. Ketelusan kontrak serta laporan kemajuan projek terdahulu juga penting bagi membuktikan komitmen kerajaan terhadap reformasi sebenar.

Bagi peruntukan untuk Sabah (RM6.9 bilion) dan Sarawak (RM6 bilion) pula yang tertinggi dalam sejarah, dengan projek utama seperti Pan Borneo Sabah (RM1.67 bilion), Southern Link Transmission Line (RM765 juta) dan Sarawak-Sabah Link Road. Langkah ini penting untuk mengurangkan jurang pembangunan wilayah.

Namun, kepercayaan rakyat Malaysia Timur hanya dapat dipulihkan melalui pelaksanaan yang teliti dan pelaporan berkala.

Janji pembangunan mesti diterjemah kepada tindakan konkrit, termasuk pelaksanaan sebenar hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Penilaian per kapita berdasarkan populasi dan keluasan wilayah wajar dibuat agar pembahagian peruntukan benar-benar adil.

Secara keseluruhan, Belanjawan 2026 mengandungi banyak elemen positif meliputi disiplin fiskal, pelaburan strategik dan pembaharuan tadbir urus. Namun, kejayaan bergantung kepada pelaksanaan yang cekap, telus dan adil.

Beberapa langkah wajar diberi perhatian:
– Komunikasi yang jelas tentang manfaat jangka sederhana dan panjang kepada rakyat biasa.
– Sokongan tambahan untuk golongan M40.
– Mekanisme ketelusan seperti papan pemuka perbelanjaan masa nyata.
– Pemantauan projek secara berkala, khususnya di Sabah dan Sarawak.
– Kajian semula bantuan tunai agar seiring dengan inflasi sebenar.

Belanjawan ini bukan penyelesaian segera tetapi usaha untuk mengimbangi keperluan jangka pendek dengan kestabilan jangka panjang dalam suasana global yang mencabar.

Ujian sebenar bukan pada angka yang diumumkan tetapi pada hasil pelaksanaan sama ada dana sampai kepada penerima, projek disiapkan mengikut jadual dan kualiti hidup rakyat meningkat.

Kepercayaan rakyat tidak boleh diminta sebaliknya perlu diperoleh melalui ketelusan, komunikasi jujur dan keberkesanan dasar.

Jika kerajaan dapat melaksanakan semua ini dengan konsisten, maka Belanjawan 2026 benar-benar akan menepati namanya sebagai ‘Belanjawan Rakyat.’-UTUSAN

DATUK Amir Hussien ialah penuntut tahun akhir Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Pengajian Perniagaan, Pelaburan Langsung Asing (FDI) di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×