PETALING JAYA: Microsoft menubuhkan penubuhan rantau awan generasi baharu dikenali sebagai Southeast Asia 3 (SEA 3) yang akan beroperasi di Johor Bahru, bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab digital serantau dan pemacu utama transformasi kecerdasan buatan (AI) di Asia Tenggara.
Langkah itu menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperluas infrastruktur digital negara, selain menyokong peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan awan yang diyakini dan mampan, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, pelaburan Microsoft itu mencerminkan keyakinan berterusan terhadap ekosistem digital Malaysia serta peranan negara sebagai pusat serantau bagi aset digital yang selamat dan boleh dipercayai.
“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan industri dan Microsoft sebagai rakan teknologi yang diyakini bagi membina kepimpinan Malaysia dalam ekonomi digital serantau,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Komersial Microsoft, Judson Althoff berkata, Asia Tenggara merupakan antara rantau paling dinamik di dunia dan pelaburan tersebut sejajar dengan komitmen syarikat untuk membantu kerajaan serta perniagaan berinovasi secara bertanggungjawab dalam era AI.
“Rantau baharu ini akan menjadi asas kepada organisasi di rantau ini untuk membina keyakinan, mempercepatkan transformasi AI dan muncul sebagai Frontier Firm.
“Rantau SEA 3 menambah kepada lebih 70 rantau global Microsoft Azure sedia ada.
“Sebelum ini, Microsoft turut melancarkan rantau awan Malaysia Barat di Kuala Lumpur Raya, bagi mempercepatkan penggunaan teknologi AI di peringkat nasional,” katanya.
Microsoft berkata, pusat data di Johor Bahru akan dibangunkan secara bertanggungjawab dengan memberi tumpuan kepada kemampanan dan pembangunan komuniti setempat.
“Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk Program Asasi Pusat Data Skills2Work, hasil kerjasama dengan The Asia Foundation dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), bagi melatih 150 siswazah baharu dalam tempoh 12 bulan melalui latihan amali dan pendedahan industri bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka.
“Selain itu, Microsoft turut bekerjasama dengan UNDP Malaysia dan BPEN Johor untuk memperkasa 20 perusahaan sosial serta 10,000 komuniti tempatan dalam bidang keusahawanan sosial.
“Dari segi kelestarian, rantau awan baharu ini bakal menggunakan tenaga boleh diperbaharui dan sistem pendinginan cekap guna air bagi mengurangkan emisi karbon serta penggunaan air berterusan,” katanya.
Tambahnya, Microsoft turut bekerjasama dengan Clean International dan Water Watch Penang bagi memasang sistem pengumpulan air hujan di 42 sekolah di Johor, yang bakal memberi manfaat kepada lebih 20,000 orang dengan penjimatan air sebanyak 8.4 juta liter setahun.
“Usaha pemuliharaan hutan bakau turut dijalankan bersama Belia Prihatin dan WWF Malaysia di Kampung Sungai Melayu dan Sungai Perapat, Johor, bagi menggalakkan perikanan lestari serta ekopelancongan.
“Selain memperkukuh infrastruktur awan, Microsoft turut memberi tumpuan terhadap pembangunan bakat digital tempatan melalui inisiatif AIForMYFuture , yang menyasarkan melatih 800,000 rakyat Malaysia dengan kemahiran berkaitan AI menjelang akhir 2025,” tambah kenyataan itu.
Menurut Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, Laurence Si, lebih 734,000 individu sudah menjalani latihan setakat Oktober lalu, meliputi sektor kerajaan, swasta, perusahaan kecil sederhana (PKS) dan komuniti luar bandar.
“Sebagai rakan teknologi Malaysia selama lebih 33 tahun, Microsoft komited memperkasakan rakyat dengan kemahiran AI yang diperlukan untuk berkembang dalam ekonomi digital,” katanya. – UTUSAN










