Penyasaran subsidi perkukuh kawalan, kecekapan agihan

Penyasaran subsidi perkukuh kawalan, kecekapan agihan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Langkah kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi secara berperingkat dijangka memperkukuh ketelusan sistem pemberian subsidi, khususnya golongan yang benar-benar memerlukan.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pelaksanaan Program Budi Madani RON95 (BUDI95) sebelum ini menunjukkan kerajaan mampu melaksanakan pemberian subsidi secara bersasar dengan lebih tepat dan berkesan menerusi mekanisme sedia ada seperti penggunaan MyKad serta sokongan rangkaian data.

“Ia juga dilihat sebagai satu mekanisme penting bagi membanteras penyalahgunaan subsidi pukal oleh bukan warganegara serta kegiatan penyeludupan yang berleluasa.

“Sebagai contoh, subsidi minyak masak kini diberikan hanya bagi pek kecil, namun masih berlaku aktiviti penyeludupan ke negara jiran dan pembelian oleh warga asing di dalam negara,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata, kerajaan akan meneliti pelaksanaan penyasaran semula subsidi dan bantuan ke atas barangan subsidi lain seperti gula, beras dan minyak masak secara berperingkat dan berfasa.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan memastikan tidak ada ketirisan berlaku serta menjamin subsidi hanya dinikmati oleh mereka yang benar-benar memerlukannya, seperti yang kerajaan laksanakan untuk subsidi diesel dan BUDI95. 

Aimi Zulhazmi berkata, isu penyalahgunaan turut berlaku dalam kalangan industri yang menggunakan barangan makanan bersubsidi bagi tujuan operasi perniagaan.

“Menangani perkara ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana agensi kerajaan berdepan kekangan dari segi jumlah anggota penguat kuasa yang terhad, manakala hukuman dikenakan pula masih mampu dibayar oleh pihak yang didapati bersalah,” ujarnya.

Sementara itu, Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, penyasaran semula subsidi itu akan menyebabkan harga meningkat apabila subsidi dihentikan, namun, keadaan itu tidak semestinya berlaku sekiranya pengguna bertindak secara bersama dan proaktif.

Jelasnya, logiknya harga akan naik apabila subsidi ditarik balik, tetapi harga juga boleh dikekalkan, malah diturunkan jika pengguna memainkan peranan sebagai pemantau pasaran.

“Masalah utama di Malaysia ialah pengguna terlalu pasif. Kita hanya memerhati, bukan bertindak. Jika harga di pasaran antarabangsa menurun, sepatutnya peniaga turut menurunkan harga, namun perkara itu jarang berlaku. 

“Terdapat kemungkinan kerajaan mengurangkan subsidi kerana harga barangan di pasaran dunia telah menurun, seperti yang berlaku terhadap minyak dan bahan asas lain. 

“Dalam keadaan itu, pengguna perlu dimaklumkan bahawa penarikan subsidi tidak sepatutnya menyebabkan harga meningkat,” ujarnya. 

Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) perlu memainkan peranan lebih aktif dengan menyalurkan maklumat kepada orang ramai mengenai trend harga pasaran global. 

“Ini bagi memastikan pengguna memahami konteks sebenar pelarasan subsidi dan dapat bertindak sewajarnya sekiranya harga dalam negara tidak seiring dengan keadaan semasa.

“Sekiranya harga antarabangsa menurun tetapi harga tempatan kekal tinggi, pengguna perlu bertindak secara kolektif. Kuasa pengguna di Malaysia sebenarnya amat besar,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×