KHARTOUM: Pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) di Sudan terus mencetuskan gelombang pelarian baharu selepas melancarkan serangan kejam di bandar el-Fasher, wilayah Darfur, yang menyaksikan ribuan orang terbunuh dan kehilangan tempat tinggal.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam laporan yang dikeluarkan lewat Ahad lalu memberi amaran tentang kesan kemanusiaan yang semakin parah apabila serangan berterusan memaksa ribuan penduduk meninggalkan kediaman masing-masing.
RSF yang diketuai Mohamed Hamdan Dagalo atau lebih dikenali sebagai Hemedti, dalam satu video mendakwa sedang mengumpulkan kekuatan besar bagi membebaskan el-Obeid, iaitu ibu negeri wilayah Kordofan Utara yang kini masih dikuasai oleh tentera kerajaan.
Kedua-dua pihak dilaporkan bersiap sedia menghadapi pertempuran besar bagi menguasai bandar strategik tersebut.
Dalam video RSF yang sama, seorang anggota bersenjata mendakwa semua pasukan telah berkumpul di Bara, sebuah kawasan terletak kira-kira 50 kilometer timur laut el-Obeid.
Menurut laporan Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) yang diterbitkan pada Ahad, lebih 1,200 penduduk telah berpindah dari Bara serta Um Rawaba dalam tempoh sehari sahaja Jumaat lalu dan sejak minggu lepas, seramai 36,825 orang telah dipindahkan dari beberapa daerah di Kordofan Utara.
Di Kordofan Selatan, IOM melaporkan 360 lagi penduduk melarikan diri dari kawasan Abassiya dan Delami, dengan amaran perpindahan besar-besaran bakal berterusan berikutan keadaan yang tegang dan tidak menentu.
PBB dan agensi bantuan antarabangsa telah mengesahkan banyak laporan daripada mangsa terselamat yang mendakwa anggota RSF melakukan pembunuhan beramai-ramai, penyeksaan, rogol serta pemerasan terhadap penduduk awam.
Badan pemantau kelaparan global, Klasifikasi Fasas Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) yang disokong PBB, mengesahkan dua wilayah, iaitu el-Fasher dan Kadugli di Kordofan Selatan kini berada dalam keadaan kebuluran.
IPC turut memberi amaran 20 lagi kawasan di Darfur dan Kordofan berisiko tinggi menghadapi nasib sama, dengan anggaran 375,000 orang sudah hidup dalam keadaan kebuluran sejak September lalu.
Lebih 6.3 juta penduduk lain di seluruh Sudan kini mengalami kebuluran teruk dan berisiko kehilangan nyawa tanpa gencatan senjata serta akses bantuan kemanusiaan yang selamat. -AGENSI










